Isu Larkin: Pemain T-Team sedia angkat sumpah

DEMI mencari kebenaran, para pemain skuad Liga Super T-Team bersedia melakukan sumpah al-Quran seperti yang diminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, kesemua para pemain beragama Islam pasukan T-Team bersedia menunaikan tanggungjawab tersebut pada bila-bila masa sahaja.

“Buat masa ini, kami masih menunggu tarikh sesuai yang ditetapkan untuk mengangkat sumpah al-Quran seperti yang diminta oleh Menteri Besar (Terengganu),” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Video kejadian di sini.

Semalam, akhbar Kosmo! melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta para pegawai dan pemain T-Team mengangkat sumpah al-Quran berhubung insiden kekecohan yang berlaku pada perlawanan pusingan kedua kempen Piala FA ketika menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Insiden tersebut berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada waktu rehat separuh masa pertama di stadium berkenaan apabila pemain T-Team dilaporkan telah dikasari.

Ekoran kejadian tersebut, T-Team membuat keputusan untuk menarik diri daripada meneruskan aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan.

Tindakan T-Team itu mengakibatkan mereka tersingkir daripada kempen Piala FA apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat Khamis lalu memberi kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT.

Mesyuarat yang dipengerusikan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah itu mendapati tindakan T-Team itu telah melanggar Peraturan Pertandingan Liga Malaysia (Liga M) 2013-2014 prerenggan 4.12.15 (b) kerana menarik diri dan gagal meneruskan permainan pada perlawanan tersebut.

Ekoran itu, Ahmad Said telah meminta para pemain dan pihak pengurusan T-Team melakukan sumpah al-Quran bagi mencari kebenaran terhadap apa yang berlaku dalam terowong di tadium berkenaan sehingga mengakibatkan T-Team enggan meneruskan permainan.

Ahmad Said juga meminta pihak Johor DT berbuat perkara yang sama bagi mencari kebenaran.

Dalam pada itu, Rasid menambah, pasukan T-Team tidak mahu insiden tersebut menjejaskan prestasi mereka dalam siangan liga, sebaliknya terus memberi tumpuan dengan sisa-sia perjuangan dalam liga.

Katanya, ia merupakan satu cabaran kepada pasukan apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta meneruskan perjuangan demi sukan bola sepak dan peminat negeri Terengganu.

“Kita sudah pasti akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan Liga Super.

“Para pemain akan terus bekerja keras bagi memastikan mereka dapat menyaingi pasukan lain untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super,” ujarnya. – Kosmo