Isu Larkin: Irfan bakal digantung tanpa gaji?

KUALA TERENGGANU – ‘Drama’ yang dicetuskan pemain T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhd. Irfan Abdul Ghani, dijangka memasuki fasa baharu selepas pengurusan pasukannya hampir pasti membawa kes itu ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, pemain itu didapati bersalah kerana tidak melapor diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, Isnin lalu.

Katanya, tindakan Irfan yang tidak pulang sejak memohon cuti selain membuat sidang akhbar tanpa kebenaran majikannya, telah melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan sebelum ini.

“Semuanya (keputusan yang akan dibuat) bergantung kepada kontrak yang sedia ada. Tindakan gantung (tanpa gaji) mungkin boleh dikenakan ke atasnya berdasarkan klausa kontrak yang sedia ada.

“Apapun, kami akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Disipilin (T-Team) yang akan berme syuarat terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan yang akan dikenakan terhadap pemain itu selain membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi (FAM),” katanya ketika ditemui di sini.

Irfan sebelum ini telah mengadakan sidang akhbar ‘mengejut’ tanpa pengetahuan majikannya dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos minggu lepas.

Kenyataan yang dibuat pemain itu dilihat bercanggah dengan pendirian pasukannya yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.

Ab. Rasid menyifatkan ‘kehilangan’ Irfan yang sepatutnya kembali Selasa lalu sebagai kesalahan besar.

“Dia (Irfan) minta balik (ke Johor) atas alasan masalah keluarga tetapi sebaliknya, dia telah membuat perkara di luar jangkaan (mengadakan sidang akhbar tanpa kebenaran majikan),” ujar beliau.

Tambah Ab. Rasid, semua pihak menanti kepulangan pemain itu ketika ini termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. “Menteri Besar Terengganu (Ahmad) menunggu kepulangan Irfan. Sama seperti pemain-pemain lain, dia (Irfan) juga perlu melakukan di hadapan sumpah al-Quran seperti yang diminta,” katanya.-Utusan