Insiden Larkin: Irfan pula bersumpah

JOHOR BAHRU: Pemain T-Team Muhammad Irfan Abdul Ghani bersumpah dia tidak nampak sebarang pergaduhan di terowong Stadium Larkin ketika perlawanan antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team pada 1 Februari lalu.

Muhammad Irfan bersumpah dengan menyentuh al-Quran di Restoran LC di sini, tadi.

Dia melakukannya di depan wartawan serta jurugambar dalam satu sidang media.

Pada masa sama, Muhammad Irfan meletak jawatan sebagai pemain T-Team dengan alasan mahu menjaga ibu dan seorang adiknya yang tidak sihat.

Muhammad Irfan berkata, dia tampil dan sanggup mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran dengan rela hati bagi menegakkan kebenaran.

“Dengan ini saya bersumpah semua kenyataan yang dibuat adalah benar,” katanya sambil menyentuh al-Quran menggunakan tangan kanannya.

Malam tadi, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyaksikan pemain dan pegawai T-Team bersumpah di depan al-Quran di Kuala Terengganu. [ Link].

Majlis angkat sumpah itu didahului penolong jurulatih, Azlan Johar yang menyatakan insiden pemain import, Evaldo Rodrigues ditumbuk dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam 1 Februari lalu, adalah benar.

Bagaimanapun, Irfan yang menjadi tumpuan berikutan kenyataan mengejutnya dengan mendakwa kejadian itu tidak berlaku, gagal hadir dalam majlis berkenaan walaupun diminta berbuat sedemikian. – HMetro