Harimau Muda sasar tangga pertengahan Liga Queensland

ATAS kertas, Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia bukan tempat sesuai untuk memberi pendedahan kepada skuad bola sepak muda negara, Harimau Muda A.

Ramai berpendapat, ia bukan liga yang kompetitif berbanding Liga Malaysia (Liga M) yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Lainlah, andai skuad muda negara itu didedahkan beraksi dalam Liga Australia (Liga A) yang memiliki reputasi hebat kebelakangan ini, sudah pasti ia memberi banyak manfaat buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Apa pun, Kim Swee mempunyai pendirian berbeza atas langkah menghantar skuad Harimau Muda A beraksi dalam NPL bermula bulan Mac hingga Ogos depan.

Menurutnya, tujuan utama adalah untuk membentuk kekuatan mental yang boleh meningkatkan tahap keyakinan mereka.

“Saya yakin, peluang beraksi dalam NPL bakal memberikan pendedahan yang cukup berguna kepada barisan pemain-pemain kita nanti yang sebahagian besarnya terdiri daripada muka baharu,” katanya selepas menyaksikan skuad Harimau Muda A menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi persahabatan di Padang MSN, Bukit Jalil semalam.

“Jadi, dengan pendedahan beraksi dalam NPL, ia akan membantu mereka membiasakan diri selain mengikis perasaan gementar apabila berdepan pasukan lawan yang dibarisi pemain asing.

Menurutnya, ia bukan soal liga itu berkualiti atau sebaliknya, tetapi tujuan utama ialah untuk membentuk pemain muda negara ini supaya lebih berkeyakinan dengan keupayaan diri.

Sepanjang beraksi di NPL nanti, Kim Swee sekadar meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik yang dilihat mampu memberi motivasi kepada para pemain, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan mereka.

PEMAIN Harimau Muda A, Mohd Ferris Danial Mat Nasir (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur pada perlawanan persahabatan di Padang MSN, Bukit Jalil.

“Saya berharap barisan pemain Harimau Muda A dapat menimba pengalaman berguna sepanjang berguru di Australia nanti sebelum beraksi di Sukan SEA 2015 Singapura.

“Ada 14 pasukan yang bertanding dalam NPL dan saya percaya kita memiliki kemampuan untuk memberikan aksi terbaik dalam liga tersebut.”

Sementara itu, Kim Swee turut mendedahkan pemain sayap, Syahrul Azwari Ibrahim bakal tercicir daripada skuad Harimau Muda A ke NPL nanti.

Ia gara-gara pemain kelahiran Kelantan itu telah menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL), semalam.

“Shahrul tidak akan menyertai skuad ini dan direhatkan selama enam bulan selepas menjalani pembedahan ACL.

“Selain Shahrul, saya akan melihat 28 pemain ini yang mana saya hanya membawa 25 pelatih sahaja ke Australia,” katanya.

Sebelas pemain baru kini dalam penilaian pengendali berusia 43 tahun itu kerana beliau hanya akan membawa 25 daripada 28 pemain dalam skuad ke Australia pada 28 Mac ini.

Harimau Muda A akan turun pada perlawanan pertama Liga NPL pada 8 Mac ini dan akan bersaing dengan 13 pasukan lain sehingga tamat musim pada Ogos depan.