Harimau Malaya mungkin dikemudi kapten baharu – Kim Swee

Skuad Harimau Malaya berkemungkinan dikemudi kapten baharu bagi menghadapi perlawanan akhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac ini di Dubai.

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee yang membayangkan perkara itu berkata beliau kini sudah mempunyai beberapa pilihan pemain yang layak untuk memimpin skuad berkenaan.

“Kemungkinan besar ada pemimpin baharu dalam pasukan, ada dua atau tiga pemain yang mungkin akan jadi pilihan saya, tetapi saya masih menilai mereka sebab jika berlaku kecederaan, saya perlu mencari alternatif lain.

Senarai panggilan baru di sini.

“Selepas perlawanan malam ini (semalam, suku akhir pertama Piala FA), saya akan keluarkan senarai penuh skuad kebangsaan, selewat-lewatnya Khamis ini (esok).

“Mungkin tidak banyak perubahan, jika pemain tempatan yang ada tidak menunjukkan prestasi yang baik, saya terpaksa membuat pemilihan berdasarkan pengalaman,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Harimau Muda A itu berkata kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim, antara pemain yang dipertimbangkannya kerana mempamerkan prestasi konsisten dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 1 Mac ini.

Semalam Tiada perubahan besar dilakukan pemangku jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee apabila mengumumkan 25 barisan pemainnya semalam, bagi aksi dua perlawanan antarabangsa bulan depan.

Berbanding dengan senarai sering menjadi pilihan pengendali terdahulu, Datuk K Rajagobal, hanya dua muka baru dipanggil kali ini iaitu penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dan pemain tengah, Hafiz Kamal, kedua-duanya dari Pahang.