Guru mengamuk belasah empat pelajar

SITIAWAN – Empat pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini melalui detik menakutkan apabila seorang guru lelaki mengamuk dan bertindak membelasah mereka sehingga mengalami kecederaan kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5 petang di makmal komputer sekolah itu, guru berkenaan didakwa menendang sebelum menumbuk dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.

Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun mendakwa, dia ditendang di muka oleh guru tersebut hanya kerana tidak membawa buku latihan.

“Akibat perbuatan guru tersebut, saya mengalami pendarahan di bahagian dagu dan dibawa oleh dua orang rakan ke bilik guru untuk membuat laporan.

SEORANG daripada mangsa melakonkan semula aksi dia ditendang oleh seorang guru yang mengamuk

“Saya sempat memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga sebelum mereka datang membawa saya untuk membuat laporan polis,” ceritanya.

Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar perempuan mendakwa, dia menerima nasib sama apabila guru yang bagaikan dirasuk bertindak keluar dari makmal komputer dan menumbuk lima kali di bahagian mukanya.

Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Idris Ramli, berkata, berdasarkan laporan diterima daripada sekolah berkenaan pagi semalam, tindakan guru itu yang terlalu pantas bertindak terhadap kesalahan dilakukan anak muridnya tidak menunjukkan perlakuan guru yang normal.

“Jika dia menggunakan rotan misalnya bagi menghukum pelajar, itu adalah perkara normal tetapi tindakan menumbuk dan menerajang adalah tindakan yang sukar diterima,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, jabatan itu menghantar dua pegawainya pergi ke sekolah berkenaan pagi ini untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci sebelum mengusulkan sebarang tindakan kepada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, siasatan terhadap kes itu sudah selesai dan polis kini hanya menunggu laporan perubatan untuk melengkapkan siasatan sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sudah mengambil keterangan daripada guru terbabit yang datang ke IPD Manjung petang semalam.

Empat pelajar sekolah SMJKC Nan Hwa termasuk dua daripadanya perempuan dilaporkan cedera selepas dibelasah guru terbabit kerana tidak membawa buku latihan ke sekolah yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang Rabu.