Football Queensland nafi laporan Brisbane Times

Kuala Lumpur: Laporan memburukkan skuad Harimau Muda A oleh Brisbane Times mengundang rasa marah pihak pengurusan Football Queensland (FQ) yang menganggap laporan media Australia itu sengaja menjejaskan hubungan baik antara mereka dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Baca tuduhan di sini.

Perkara itu dimaklumkan jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee yang menghubungi pihak pengurusan FQ semalam bagi mendapatkan penjelasan sebenar laporan www.brisbanetimes.com.au pada Ahad lalu yang mengaitkan skuad muda negara itu dengan gejala rasuah dan mengatur perlawanan.

“Saya sudah menghubungi pihak pengurusan FQ untuk mengetahui mengenai cerita sebenar isu dibangkitkan Brisbane Times itu dan mereka terkejut serta marah dengan apa yang dilaporkan itu. Bagi mereka dakwaan itu tidak betul dan sudah meminta pihak Brisbane Times untuk memberikan penjelasan.

“Mungkin dalam tempoh terdekat ini pihak FQ akan mengeluarkan kenyataan media mengenai isu ini kerana mereka menganggap laporan itu boleh memburukkan hubungan baik dengan Malaysia,” katanya kepada semalam.

Penyertaan Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia terpalit kontroversi apabila Brisbane Times menyiarkan laporan mengenai kenyataan pakar analisis mengatur perlawanan yang juga penulis buku The Fix dan The Insiders Guide to Match Fixing, Declan Hill bahawa kehadiran Harimau Muda A dalam liga itu akan menyebabkan saingan akan terdedah kepada sindiket perjudian di Asia. – HMetro