FAS larang pakai topeng di stadium

Petra Jaya: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kini melarang penyokong negeri itu menggunakan topeng ketika berada stadium bagi mengelak gejala samseng bola sepak dalam semua saingan Liga Malaysia selepas ini.

Setiausaha FAS, Abdullah Julaihi berkata, peraturan baru itu diperkenalkan bagi memudahkan pihaknya mengecam penyokong yang melanggar peraturan ketika sesuatu perlawanan berlangsung termasuk bertemu Perak malam esok.

“Ini adalah satu langkah yang diambil oleh FAS bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. Lebih baik kita segera memandangkan penonton datang ke stadium adalah ramai.

Perak sedia gegar

“Kami faham niat baik penyokong, namun untuk kebaikan bersama langkah ini perlu diambil. Jika mereka masih berdegil dan tidak mahu menanggalkan topeng ketika diminta berbuat demikian, kami tidak akan membenarkan mereka memasuki stadium,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, pemain muda Perak diharap berupaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari kunjungan ke Kuching malam esok.

Pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad berkata, selepas membuktikan kehebatan dengan melakar dua kejayaan aksi Liga Super di tempat sendiri pasukan dengan jolokan The Bos Gaurus kini perlu menunjukkan kemampuan di gelanggang lawan.

“Tidak ada makna jika sekadar boleh menang di tempat sendiri. Pemain Perak juga perlu mengutip mata di tempat lawan. Jika tidak boleh mata penuh satu pun memadai.“ Jadi tiada pilihan mereka kena kerja keras dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan misi penting ini,” katanya di sini, semalam. – BH