FAM tetap buru jurulatih hebat

KUALA LUMPUR – Sungguhpun misi mendapatkan Philippe Troussier dikhabarkan menemui jalan buntu, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka tetap mencari jurulatih berprofil tinggi lain bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Rundingan dengan Troussier difahamkan tidak berjalan seperti yang diharap selepas bekas jurulatih pasukan kebangsaan Jepun itu menetapkan syarat yang terlalu ketat.

Bagaimanapun dengan FAM masih diberikan dana yang besar untuk membayar ketua jurulatih kebangsaan, mereka masih boleh memilih jurulatih dalam kalangan jurulatih asing lain yang telah disenarai pendek sebelum ini.

Difahamkan, syarikat telekomunikasi gergasi, Telekom Malaysia (TM) dan seorang tokoh bola sepak tempatan telah menawarkan kepada badan kebangsan itu untuk membayar sebahagian daripada gaji jurulatih kebangsaan.

Antara calon berprofil tinggi yang pernah berada dalam radar FAM sebelum ini ialah bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller dan legenda Jerman, Rudi Voller.

Selain mereka berdua tiga calon lain turut berada dalam perhatian FAM. Mereka ialah jurulatih AS Roma, Zdenek Zemen, bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China, Bob Houghton.

Dalam pada itu, calon tempatan juga tidak boleh diketepikan kerana tidak mustahil FAM akan memilih Datuk Ong Kim Swee untuk membimbing Harimau Malaya.

Namun perlu diingat sekiranya Kim Swee dilantik untuk membimbing skuad utama kebangsaan, FAM juga perlu segera mendapatkan pengganti untuk jawatan jurulatih itu ketika ini dalam skuad Harimau Muda.

Ini kerana Harimau Muda bakal berhadapan banyak tugasan penting pada tahun ini termasuk Sukan Asia di Korea Selatan pada September ini dan Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane, Australia dari Mac hingga Ogos 2014.

Gaji yang tinggi bukan halangan utama buat FAM untuk mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi dan berkualiti.

Namun, kegagalan mencapai perjanjian dengan Troussier disebabkan oleh permintaan jurulatih itu yang seakan tidak masuk akal, terutama melibatkan kontrak selain tidak mahu FAM meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepadanya.

Bagaimanapun, segala teka-teki berhubung status siapa jurulatih skuad Harimau Malaya akan terjawab dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan oleh FAM, Isnin ini.

Malah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin juga enggan memberikan bayangan awal siapa calon yang akan dipilih oleh badan induk tersebut.

“Saya tidak boleh beri sebarang kenyataan berkaitan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan dan hanya akan memberitahu pada sidang akhbar Isnin ini.

“Saya harap semua faham dan dapat hadir pada sidang akhbar yang diadakan kerana pada masa itu segala pertanyaan akan kami cuba jawab sebaiknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. – Utusan