FAM pantau perkembangan bakat Wan Kuzain

KUALA LUMPUR – Bakat luar biasa yang dimiliki oleh anak Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal yang baru berusia 15 tahun sememangnya telah diketahui oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal dan beliau mengakui bersedia membawa pemain yang akan menjalani pemilihan dengan kelab Belanda, Feyenoord itu ke tanah air untuk mewakili Harimau Malaya jika dia benar berminat satu hari kelak.

Bertambah memudahkan keadaan, Subahan mengenali ayah Wan Kuzain, Profesor Dr. Wan Kamal Wan Napi yang merupakan teman sepengajian ketika menuntut di Amerika Syarikat dari tahun 1986 hingga 1989. Dr. Wan Kamal kini pensyarah di Universiti Southern Illinois.

Justeru, Subahan berjanji akan berhubung secara terus dengan bapa Wan Kuzain bagi bertanyakan perkembangan anaknya itu, terutama menjelang pemilihan sepuluh hari bersama kelab Belanda, Feyenoord yang akan bermula pada 28 Februari ini.

“Terus-terang saya tidak melihat dia bermain selama ini namun mengetahui perkembangan bakatnya sehingga dia menjalani pemilihan bersama pasukan Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat baru-baru ini kerana saya sentiasa berhubung dengan ayahnya.

“Ini kerana saya dan Wan Kamal (ayah Wan Kuzain), merupakan rakan ketika di Universiti Southern Illinios dari tahun 1986 hingga 1989, jadi kebetulan saya memang mengetahui bakat yang ada pada Wan Kuzain.

“Cuma apabila Utusan Malaysia membuka cerita pemilihan dia untuk menjalani latihan bersama Feyenoord, saya rasa ini satu perkembangan yang cukup baik bagi FAM dan para peminat boleh mengetahui perkembangan terkini Wan Kuzain.

“Bagaimana pun, kita hendak tengok juga kemampuan dia terlebih dahulu tetapi di pihak FAM, kami sedia untuk membantu dia dibawa ke sini seperti mana kami membawa pemain Shanghai Shenhua, Tam Sheang Tsung agar jurulatih, Datuk Ong Kim Swee boleh menilai sejauh mana prestasinya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Subahan, beliau memahami harapan tinggi semua pihak terutama peminat bola sepak tempatan yang mahu melihat Wan Kuzain menyarung jersi negara pada satu hari nanti tetapi menjelaskan, semuanya bergantung kepada pilihan anak muda itu sendiri.

“Soal Wan Kuzain hendak mewakili negara mana kita tidak boleh paksa. Saya akan mendapatkan maklumat daripada ayahnya terlebih dahulu dan jika benar harapan dia untuk melihat anaknya mewakili negara, itu satu petanda baik.

“Malah, tidak mustahil juga kita melakukan kunjungan ke sana (Rotterdam) untuk melihat proses pemilihan Wan Kuzain dari 28 Februari nanti, saya akan cuba usahakan supaya kita dapat melihat secara dekat bakat yang ada pada Wan Kuzain,” katanya.

Utusan Malaysia berjaya mendapatkan perkembangan terkini Wan Kuzain, melalui ayahnya yang dihubungi menerusi Facebook. Pemain yang mulai digelar ‘Messi Amerika Syarikat’ oleh media di Belanda itu berjaya memikat gergasi Liga Eredivisie, Feyenoord dan akan menjalani ujian pemilihan bagi menyertai akademi kelab bola sepak terkenal Belanda itu.

Bernaung di bawah kelab St. Louis Scott Gallagher (SLSG) yang berpengkalan di Illinios, Wan Kuzain menjadi antara 30 pemain yang disenarai pendek bagi menyertai skuad Bawah 17 Amerika Syarikat yang akan bermain di Piala Dunia Bawah 17 di Chile pada tahun depan.

Mula beraksi di posisi sayap kiri, Wan Kuzain kini beralih ke bahagian tengah selaku perancang pasukan selepas jurulatih melihat dia mempunyai skil menggelecek yang baik dan visi dalam mengatur pergerakan permainan. – Utusan