FAM jumpa TMJ jika perlu, Isu terowong kes berbeza

MISTERI insiden ‘panas’ yang didakwa tercetus dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru ketika pertembungan Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu masih belum terungkai.

Namun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberikan jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menyiasat insiden berkenaan dengan lebih terperinci selepas ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) termasuk Presiden PBNJ itu yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden berkenaan.

“FAM akan melihat segala bukti (berkaitan insiden itu) minggu depan.

“Ingin saya tegaskan di sini, pihak kami tidak akan sesekali berkompromi.

“Jadi, kami akan panggil dan jumpa TMJ jika perlu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) pula berkata, kes itu kini dikendalikan pihak Sekretariat FAM untuk siasatan lanjut.

Jika ada kes, katanya, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak dalam masa terdekat.

“Sekretariat akan meneruskan siasatan lanjut terhadap apa yang didakwa berlaku dalam terowong berkenaan,” jelas Afandi.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Fahmy Yahya (kanan) dan penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim (tengah) meninggalkan bilik mesyuarat selepas mendengar keputusan JKPT

Dalam insiden di Larkin itu, pemain import The Titans, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Ketika itu, kedudukan semasa memihak kepada skuad Harimau Selatan yang sedang mendahului perlawanan 2-1.

Gara-gara bimbang dengan keselamatan, pasukan T-Team yang berstatus kelab itu telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua.

Malah, kedua-dua pasukan juga telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku dalam terowong stadium berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengesahkan siasatan berhubung insiden itu akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan.

Berhubung insiden itu yang kini berada di bawah siasatan polis, jelas Afandi, FAM tetap akan meneruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang dimiliki badan induk berkenaan.

“Kami serahkan kepada polis untuk siasatan, tetapi pihak sekretariat tetap akan teruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang kami ada.

“Jika ada kes, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Jadi, sekretariat akan teruskan siasatan terlebih dahulu yang dijangka selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, keputusan untuk memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah isu berbeza dengan kekecohan berlaku di terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu.

“Biarpun JDT sudah diberikan kemenangan 3-0, apa yang berlaku dalam terowong itu belum mempunyai titik noktah. Jika ada kes, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Apa pun memandangkan laporan polis juga sudah dibuat kedua-dua pasukan, itu FAM serahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan. Apa yang FAM buat ini adalah mengikut bidang kuasa kita iaitu berdasarkan peraturan tatatertib FAM,” kata Afandi.