FAM haram suar dibawa masuk dalam stadium

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak akan tunduk dengan permintaan semua pihak termasuk saranan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membenarkan semula penonton membawa tiang atau objek keras ke dalam stadium.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatannya, Datuk Seri Wira Salleh Mat Rasid berkata, pihaknya menghormati permintaan yang dibuat, namun demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin mereka tidak boleh berganjak dari keputusan asal.

“Kami menghormati saranan menteri (Khairy) untuk menimbang semula penggunaan kayu bagi membolehkan peminat mengikat sepanduk atau bendera. Tapi setelah berbincang dari sudut SOP, FAM dan PDRM, kami merasakan kayu boleh menjadi senjata sekali gus mengundang insiden yang tidak diingini di dalam stadium.

“Jadi, kami buat keputusan untuk tidak benarkan sepanduk atau bendera yang diikat dengan kayu dibawa masuk dalam stadium. Dan itu muktamad,” katanya pada kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM kali pertama di wisma FAM, hari ini.

Sebelum ini, segelintir penyokong dan juga ultras di beberapa negeri tidak bersetuju dengan pekeliling terbaru dikeluarkan oleh FAM yang melarang mereka membawa tiang atau objek keras ke dalam stadium untuk mengikat bendera

Khairy yang memahami perasaan dan kehendak penyokong yang ingin membawa kayu atau tiang untuk mengibarkan bendera pasukan masing-masing meminta FAM menilai kembali peraturan tersebut seperti amalan di peringkat antarabangsa.

Pada perkembangan sama, Wira Salleh yang juga Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman turut memberitahu bahawa pihaknya akan menambah ahli keanggotaan terutamanya melibatkan perlawanan ‘berisiko tinggi’ pada perlawanan akan datang.

Menurutnya, langkah tersebut dibuat bagi memastikan insiden yang berlaku pada perlawanan sebelum ini tidak akan terus berulang.

“Saya rasa semua orang tahu perlawanan berisiko tinggi akan melibatkan pasukan mana dan berdasarkan insiden yang berlaku sebelum ini juga kita sudah mampu untuk menjangkakannya.

“Apa pun, saya tak menyalahkan mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut cuma apa yang kami akan fokus selepas ini ialah menangani insiden tersebut berulang lagi.

“FAM akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani masalah keselamatan dan PDRM juga akan sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam hal ini. Cuma apa yang kita harapkan peminat juga mematuhi peraturan yang telah di tetapkan agar tidak menjejaskan keselamatan dan keharmonian bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pergaduhan yang tercetus di terowong ke bilik persalinan di Stadium Larkin pada 1 Februari lalu, Wira Salleh berkata, insiden tersebut bakal diketahui dalam masa terdekat apabila FAM semakin hampir berada di peringkat mengeluarkan surat pertuduhan kepada mana-mana individu yang terlibat.

“Isu pergaduhan itu kami hampir selesaikan dan diharapkan semua pihak bersabar. Apabila tiba masanya kami akan mengumumkan perkara itu kepada semua pihak,” ujarnya lagi. – SH