FAM Belum Terima Aduan Rasmi Dakwaan Pengadil Carut Pemain

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menerima aduan rasmi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berhubung dakwaan pengadil mengeluarkan perkataan lucah kepada pemain pasukan Bujang Senang pada perlawanan Liga Super menentang Perak, Sabtu lepas.

Artikel Joseph Kalang Tie dakwa di maki di sini

Akhbar tempatan hari ini melaporkan FAS akan menghantar aduan rasmi kepada FAM berikutan tindakan pengadil Sukri Abdul Rahman yang didakwa menyebut perkataan lucah kepada pemain tengah Sarawak, Joseph Kalang Tie sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Negeri, Kuching.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata pihaknya masih belum menerima aduan rasmi daripada FAS, dan FAM tidak boleh mengambil tindakan lanjut berdasarkan laporan akhbar semata-mata.

“Kita tidak boleh ambil sebarang tindakan dengan hanya membaca laporan akhbar tanpa mendapat aduan rasmi daripada pasukan terlibat terlebih dulu. Namun kita akan melakukan siasatan jika terdapat kes,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain, Astaman berkata jawatankuasa itu sentiasa melakukan pemantauan terhadap pengadil perlawanan dengan menempatkan seorang pegawai penilai pengadil bagi menjaga mutu pengadilan sepanjang Liga Malaysia berlangsung.

“Setiap pengadil yang mendapat markah rendah atau negatif daripada pegawai penilai pengadil akan menerima hukuman termasuk digantung tugas bagi tempoh tertentu,” katanya.

Astaman berkata sehingga kini tiga pengadil berdepan hukuman gantung tugas selama dua minggu.

Beliau berkata sejak musim Liga Malaysia bermula, pihaknya telah menerima tiga aduan rasmi membabitkan pengadil daripada beberapa pasukan, namun hasil siasatan mendapati keputusan memihak kepada pengadil kerana mereka telah bertindak membuat keputusan betul.

Astaman bagimanapun enggan mendedahkan nama pengadil berkenaan.– BERNAMA