Erra Fazira & Engku Emran Cerai Talak Satu

SHAH ALAM: Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abdin terjawab apabila pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa.

Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut.

Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi.

Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida.

Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.

Sebelum mengahwini Engku Emran, Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian.

Hasil perkahwinan pertama itu mereka tidak mempunyai cahaya mata.

Pelakon Erra Fazira, 40, memberitahu bahawa dia bersetuju untuk melepaskan hak penjagaan anak tunggalnya kepada bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39, kerana percaya itu adalah jalan yang terbaik.

Namun demikian, dia mengakui agak sensitif apabila diajukan soalan mengenai anak tunggalnya, Engku Aleesya yang kini berusia 5 tahun.

“Janganlah tanya soalan ini, masih sensitif. Tapi apa yang berlaku adalah yang terbaik untuk dia,” katanya sewaktu ditemui di studio rakaman program Primadona di sini hari ini.