Dua ditahan jual senjata api tiruan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan dekat sini bulan lepas dipercayai menjual senjata api tiruan sehingga boleh mencecah RM30,000 seunit.

Kedua-dua mereka berusia 27 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan 11 Januari lepas di sebuah rumah di Paya Jaras, Sungai Buloh yang terletak bersebelahan dengan setor penyimpanan senjata api tiruan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Asisten Komisioner Junaidi Bujang berkata, serbuan ke atas setor itu dilakukan 10 hari kemudian dan polis merampas 17 senjata api tiruan pelbagai jenis antaranya senapang G 36 C, M4, Styer Aug dan Crossman Sniper.

“Kita turut merampas peluru, magazine, ghillie suit, vest SWAT, helmet hitam, beg senjata dan harness celoreng,” katanya kepada pemberita dalam sidang media dekat sini hari ini.

Junaidi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang merupakan bekas juruteknik syarikat swasta itu menjalankan kegiatan tersebut dengan membeli barangan tersebut secara atas talian dari Amerika Syarikat, Taiwan dan China.

“Ia dibeli pada harga sekitar RM500 hingga RM11,000 daripada pembekal sebelum menjualnya paling mahal sehingga mencecah RM30,000 seunit.

“Modus operandi penjualan mereka dilakukan secara terus kepada kenalan atau golongan tertentu yang berminat untuk menggunakan senjata api tiruan tersebut dalam permainan bercorak peperangan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan senjata api tiruan itu digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah sekiranya ia diperoleh oleh penjenayah.

“Kesemua senjata ini reka bentuknya sama seperti tulin dan ada diantaranya mirip senjata api yang digunakan pasukan keselamatan… kalau senjata ini diperoleh oleh orang yang salah ia dikhuatiri akan digunakan untuk melakukan jenayah termasuk ugut menggunakan senjata api.

“Setakat ini sekurang-kurangnya empat senjata api telah dijual oleh kedua-dua lelaki ini dan polis kini sedang menjejaki pembeli berkenaan,” katanya.

Junaidi berkata, hasil soal siasat yang dijalankan keatas kedua-dua lelaki itu mendapati kegiatan yang dijalankan sejak enam bulan itu pada awalnya bermula sebagai hobi menyimpan koleksi senjata api sebelum ia akhirnya bertukar menjadi perniagaan haram.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) kerana memiliki senjata tiruan dan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Bernama