Dollah Salleh mungkin pilihan utama FAM

KUALA LUMPUR – Dollah Salleh dikhabarkan menjadi pilihan utama FAM setelah Troussier menolak kontrak yang ditawarkan oleh FAM.

Dikhabarkan Dollah antara 2 calon pilihan untuk menggantikan kerusi panas yang jurulatih Harimau Malaya setelah kontrak Rajagobal tidak disambung Disember lalu.

Dollah ketika ditemui menolak khabar angin yang mengaitkan dirinya itu. Walaubagaimanapun beliau bersedia memikul tanggungjawab tersebut jika ditawarkan kontrak oleh FAM.

Dollah Salleh mempunyai reputasi sebagai jurulatih yang berjaya di Liga Malaysia setelah berjaya membawa MPPJ menjuarai Piala Malaysia pada 2003. Dia kemudian membawa MPPJ ke Liga Super setelah MPPJ muncul juara Liga Perdana pada 2004.

Pada 2005, Persatuan Bola Sepak Selangor membawanya menyertai Selangor. Pada tahun pertama Dollah bersama Selangor, Selangor muncul juara tiga piala (Liga Perdana Malaysia, Piala FA Malaysia, dan Piala Malaysia).

Pada Mei 2009, Pahang mendapatkan khidmatnya untuk membaiki prestasi pasukan Pahang yang merosot teruk dan terbukti beliau berjaya melakukannya.

Sementara itu,  memandangkan beliau baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun untuk terus membimbing Harimau Muda A sehingga penghujung tahun 2015, ia tampak mustahil buat Kim Swee menjadi pilihan menggalas cabaran skuad senior.

Malah, beliau berasakan sudah cukup semua pihak mengaitkan namanya kerana bimbang ada tanggapan sesetengah pihak yang seolah-olah beliau begitu ‘tergila-gilakan’ jawatan berkenaan.

‘‘Kalau boleh saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara ini kerana tidak mahu dilabel terlalu mengejarkan jawatan (jurulatih Harimau Malaya) tersebut, nanti apa pula pandangan pihak lain.

‘‘Tambahan pula saya baharu menandatangani kontrak bersama Harimau Muda selama dua tahun pada minggu lalu, jadi saya rasa tidak mungkin saya yang akan menjadi pilihan sebagai jurulatih kebangsaan.

‘‘Namun, semuanya terpulang kepada perancangan FAM dan saya bersedia menerima apa sahaja keputusan yang mereka berikan nanti selaku majikan saya, ” katanya.

Walaupun begitu, Kim Swee mengakui beliau sentiasa bersedia sekiranya mendapat arahan terbaru daripada FAM untuk melakukan sebarang persiapan terhadap skuad Harimau Malaya terutama menjelang aksi terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 5 Mac ini sambil menganggap itu bukan satu permasalahan besar buat dirinya.

‘‘Bagi saya bebanan itu memang sentiasa ada, tambahan pula tugas sebagai jurulatih sentiasa berhadapan dengan tanggungjawab dan jika FAM menyuruh saya melaksanakan tugas bersama Harimau Malaya, saya percaya FAM ada Pelan A dan B.

‘‘Saya tidak boleh jadikan bebanan sebagai alasan kerana yakin FAM pasti bijak melakukan perancangan walaupun pada musim ini skuad Harimau Muda akan beraksi di Sukan Asia 2014 dan Liga Kebangsaan Australia (NPL), ” katanya lagi.

Troussier, bekas pengendali Jepun dan Maghribi difahamkan mengenakan pelbagai syarat yang tidak masuk akal seperti enggan FAM meletakkan sebarang Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan boleh menamatkan kontrak pada bila-bila masa jika ada sebarang isu seperti tidak berpuas hati mengenai permukaan padang atau prestasi pemain.

Dia juga menuntut FAM membayar gaji untuk baki kontrak biarpun atas tindakannya sendiri yang menamatkan kontrak berkenaan lebih awal.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Kim Swee berkemungkinan besar akan memikul tugasan membentuk skuad Harimau Malaya sekurang-kurangnya bagi menghadapi Filipina dalam aksi pada 1 Mac ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Yemen, empat hari kemudian.

Ini kerana FAM difahamkan tidak sempat melantik jurulatih dalam masa terdekat akibat perbincangan dengan Troussier menemui jalan buntu dan berkemungkinan akan ada kejutan dengan calon-calon yang tidak pernah berada dalam senarai pendek dijangka bakal menjadi pilihan.

Salah seorang calon yang sebelum ini disebut-sebut iaitu bekas pengurus AS Roma, Zdenak Zeman juga tidak lagi berada dalam radar FAM selepas tidak memberikan maklum balas kepada tawaran yang dikemukakan FAM menerusi e-mel.