Doktor gigi tipu sudah berkhidmat 10 tahun

Jitra: Seorang warga emas berlagak ‘doktor’ gigi yang merawat pesakitnya di sebuah bilik khas yang diubah suai di depan banglonya terkejut apabila menerima ‘kunjungan’ pihak berkuasa kerana disyaki menjalankan klinik pergigian secara haram di Kampung Alor Biak, di sini, semalam.

Lebih mengejutkan apabila wanita berusia 55 tahun terbabit juga dipercayai tidak mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan.

Serbuan dilakukan jam 10 pagi oleh sepasukan pegawai Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKEP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk dari Kedah, Perlis dan Melaka dengan bantuan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Difahamkan, wanita itu menjalankan perkhidmatan pergigian sejak hampir 10 tahun lalu, malah turut menyediakan perkhidmatan membuat gigi palsu dengan mengenakan caj murah dan cepat.

Ketua Operasi Dr Rohana Mat Arip berkata, pihaknya melakukan serbuan berdasarkan aduan orang ramai dan intipan dilakukan sejak lebih setahun lalu, malah wanita terbabit turut diberikan amaran sebanyak dua kali supaya tidak meneruskan operasi di klinik berkenaan.

Menurutnya, pihaknya akan membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan setakat ini ‘klinik’ berkenaan disita sehingga kes selesai.

PEGAWAI UKEP KKM memeriksa peralatan klinik terbabit.

“Berdasarkan pemeriksaan, warga emas terbabit hanya mempunyai sijil perniagaan dan tiada sijil atau lesen perubatan daripada KKM untuk menjalankan kegiatan itu.

“Selain itu, kami turut merampas peralatan yang digunakan dalam bilik rawatan khas pergigian terbabit termasuk pelbagai dokumen untuk membantu siasatan.

“Kita bimbang pesakit yang pernah mendapatkan perkhidmatan pergigian di sini mendapat jangkitan kuman yang boleh merebak kepada orang lain disebabkan keraguan peralatan digunakan selain tahap kebersihan di bilik rawatan ini,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dr Rohana berkata, pihaknya meminta pelanggan yang pernah mendapatkan rawatan dengan wanita berkenaan dan mengalami masalah supaya merujuk klinik kesihatan atau klinik swasta berhampiran yang berdaftar dengan KKM.

Katanya, pihaknya turut mengambil keterangan warga emas terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali. – HMetro