Copa Del Ray: Gaji tertunggak, Pemain Santander boikot perlawanan

PEMAIN dari pasukan Racing Santander mengotakan janji mereka apabila enggan bermain ketika pertemuan suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol menentang Real Sociedad, awal pagi semalam.

Isnin lalu, pemain Santander telah mengumumkan mereka akan memboikot perlawanan kecuali presiden kelab, Angel Lavin dan pihak lembaga meletak jawatan.

Pada perlawanan berkenaan, pemain Santander hanya membentuk satu bulatan di tengah padang sebelum mengambil keputusan menghentikan perlawanan beberapa minit kemudian sebagai tanda protes selepas tidak dibayar gaji oleh kelab.

Santander tewas pada saingan suku akhir pertama minggu lalu dengan kekalahan 3-1 di San Sebastian.

Secara tidak langsung, Sociedad mara ke pusingan separuh akhir bertemu juara bertahan, Barcelona.

“Buat masa sekarang perasaan kami bercampur aduk dan amat malu keadaan menjadi seperti ini. Kami melakukan ini semata-mata kerana bola sepak, untuk bandar dan seluruh Sepanyol kerana masih ada masalah (kewangan) yang sama dalam pasukan lain,” jelas pemain tengah Santander, Javi Soria.

Sementara itu, Lavin dilihat berada di stadium namun tidak muncul di tempat duduk VIP.