BPL: Swansea Pecat Michael Laudrup

KELAB Liga Perdana Inggeris, Swansea City memecat pengurus mereka Michael Laudrup berkuatkuasa serta merta dan tempatnya akan diambil alih oleh pemain veteran kelab itu, Garry Monk, buat sementara waktu.

Monk akan dibantu oleh jurulatih sedia ada, Alan Curtis.

Laudrup kini menjadi pengurus yang kelima liga perdana yang dipecat musim ini.

Suasana di Liberty Stadium menjadi semakin tegang dengan wujudnya unsur-unsur yang para pemain akan memberontak ekoran prestasi merosot mereka iaitu hanya menang satu daripada 10 perlawanan terakhir.

Mereka menyalahkan bentuk latihan yang dilaksanakan di bawah pengurusam Laudrup.

“Ini adalah satu keputusan yang sangat sukar untuk kami lakukan kerana kali terakhir Swansea bertindak memecat pengurus ialah 10 tahun yang lalu,” kata Pengerusi Swansea City, Huw Jenkins dalam satu kenyataan lewat Selasa malam.

Tetapi katanya selepas bertemu dan berbincang dengan Laudrup, Swansea terpaksa mengambil keputusan drastik ini kerana ia adalah satu-satunya cara untuk terus maju ke hadapan.

Tambahnya lagi, Swansea perlu menolak ketepi apa juga bentuk ketidakpastian yang sedang menyelubungi kelab itu buat waktu ini termasuklah tentang masa depan Laudrup.

Kata Jenkins, mereka perlu memberikan sepenuh fokus kepada baki 14 perlawanan lagi untuk menyelamatkan masa depan kelab itu dalam liga.

Laudrup mengambil alih pengurusan Swansea pada tahun 2012, mengantikan Brendan Rodgers yang berpindah ke Liverpool.

Hubungan bekas pemain Barcelona dan Real Madrid itu dengan pihak atasan pengurusan kelab Swansea mula bergolak apabila wujudnya campurtangan di dalam pelantikan kakitangan dan staf kejurulatihan yang terletak di bawah bidang kuasa Laudrup.

Situasi ini menjadi bertambah buruk apabila Laudrup tidak diberi hak untuk menentukan pembelian pemain-pemain baru.