BPL: Sukar cari pengganti Rooney – Moyes

LONDON – Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui agak mustahil untuk menggantikan pemain tonggak mereka, Wayne Rooney di Old Trafford.

Rooney meraikan kontrak lima tahun yang baharu ditandatanganinya dengan membantu United melakar kemenangan 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Crystal Palace.

Dia menjaringkan gol kedua menerusi tendangan voli yang menarik selepas Robin van Persie menyempurnakan sepakan penalti.

Kejayaan di Selhurst Park itu meletakkan United di kedudukan keenam dalam carta liga, dan boss Red Devils, Moyes memberi tabik hormat kepada penyerang England berusia 28 tahun itu dan percaya keadaan akan menjadi bertambah baik selepas meletakkan dirinya dalam kelompok pemain terbaik dunia.

“Dia merupakan pemain yang penting dan cuba anda fikir mengenai bilangan kelab yang mahukan tandatangannya. Sukar untuk mencari penggantinya. Tidak ramai pemain hebat yang berada di luar sana yang boleh awak peroleh dengan mudah atau pun harga yang murah.

“Wayne salah seorang daripada pemain yang hebat. Dia telah membuktikan kehebatannya dan awak boleh menyaksikan perubahan yang ditunjukkan dan kepimpinan yang dimiliki untuk kepentingan pasukan.

Moyes ketika bersama Rooney di Everton

“Kami mahu dia mengekalkan sikap tersebut dan saya yakin dia mampu berbuat demikian. Dia merupakan pemain yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan,” kata Moyes.

Moyes, Rooney dan United akan berkunjung ke Greece untuk menentang Olympiakos pada Rabu ini bagi menghadapi perlawanan dalam peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-juara.

Pengurus United itu, yang mengharungi tempoh sukar pada penggal pertamanya sebagai pengendali pasukan sejak mengambil alih daripada Alex Ferguson yang bersara, berharap anak-anak buahnya dapat meningkatkan keyakinan masing-masing setelah meraih kemenangan di selatan London dan berusaha menamatkan musim ini di kedudukan yang baik.