BPL: Pembelian yang tak menjadi

LONDON – Empat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, Manchester United, Manchester City dan Liverpool antara kelab paling kecewa semalam apabila usaha untuk melakukan pembelian besar pada hari terakhir jendela perpindahan pemain berakhir dengan kegagalan.

Liverpool dikhabarkan sudah di ambang untuk membawa pulang bintang tengah sensasi Ukraine, Yevhen Konoplyanka dari Dnipro, malangnya di saat-saat akhir pemilik kelab enggan menandatangani kertas kerja.

Kegagalan itu cukup mengecewakan The Reds selepas usaha mereka untuk mendapatkan bintang Basel, Mohamed Salah sebelum ini turut gagal apabila pemain itu disambar Chelsea pada saat akhir.

Liverpool sudah bersetuju untuk memenuhi harga 16 juta pound (RM87.98 juta) yang diletakkan Dnipro ke atas Konoplyanka, 24, malah Pengarah Urusan mereka, Ian Ayre menghabiskan 48 jam di Ukraine bagi memuktamadkan rundingan.

Konoplyanka juga sudah lulus ujian kesihatan dan hanya menunggu masa untuk terbang ke Anfield.

Begitupun pada saat akhir, kedua-dua kelab gagal mencapai persetujuan mengenai harga sebenar yang perlu dibayar selepas Dnipro meminta tambahan 20 juta pound (RM109.98 juta) lagi untuk melepaskan pemain itu.

“Saya tetap optimis dengan kumpulan pemain yang kami miliki sekarang.

“Kalau pemain-pemain sedia ada ini dapat bebas daripada kecederaan dan kekal cergas, kami ada peluang yang bagus untuk menamatkan cabaran di kedudukan yang disasarkan,” kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.

Sementara itu, Arsenal menarik diri pada saat akhir daripada membeli bintang tengah Jerman, Julian Draxler selepas pengurus mereka, Arsene Wenger masuk campur dalam urusan pembelian.

Julian Draxler

Wenger menegaskan, harga 37 juta pound (RM203.46 juta) yang diletakkan oleh Schalke 04 untuk pemain berusia 20 tahun itu adalah keterlaluan, biarpun ahli lembaga Gunners tiada masalah untuk memberi dana bagi mendapatkan pemain tersebut.

Penyokong Arsenal yang berang menyelar tindakan Wenger menggagalkan urusniaga kelab.

United pula kempunan untuk membawa masuk seorang lagi bintang tengah Jerman, Toni Kroos biarpun pemain itu sudah mendapat lampu hijau daripada pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola.

Rundingan untuk mendapatkan Kroos (gambar kecil), 24, berakhir dengan pengurus United, David Moyes mengumumkan di Twitter, tiada pembelian akan dilakukan oleh juara Liga Perdana itu dan beliau mahu semua spekulasi ditamatkan.

“Anda boleh simpan kamera TV di luar pagar kerana semua itu tidak diperlukan lagi. Urusniaga kami sudah selesai,” kata Moyes.

Biarpun mempunyai masalah dengan Guardiola dan dibenarkan meninggalkan Allianz Arena, namun Kroos tidak berminat untuk ke Old Trafford pada masa ini.

Dia hanya bersedia untuk memulakan sebarang rundingan selepas tamat Piala Dunia di Brazil, yang berlangsung dari 12 Jun hingga 13 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, kelab kaya Liga Perdana, Manchester City juga gagal dalam usaha membeli dua tonggak utama Porto, Eliaquim Mangala dan Fernando.

Porto menaikkan harga 50 juta pound (RM274.95 juta) sebagai pakej mendapatkan Mangala, pertahanan muda berusia 22 tahun dan bintang tengah Brazil, Fernando, 22.

Harga tersebut jauh lebih tinggi berbanding harga asal yang diletakkan Porto iaitu 37.8 juta pound (RM208.49 juta). – AGENSI