BPL: Moyes pilihan paling tepat – Beckham

Miami, AS: David Beckham menganggap pengurus Manchester United, David Moyes yang dikecam hebat “adalah individu tepat bagi jawatan itu” dan menyokongnya mencipta kejayaan di Old Trafford.

Ditanya jika beliau menimbangkan Moyes sebagai bos pasukan barunya di Miami, Beckham berkata, beliau tidak menjangkakan warga Scotland itu kehilangan jawatannya dalam masa terdekat sekalipun bermula hambar sebagai pengurus United.

“Saya gembira dengan jawatan dipegangnya di sana,” jelas bekas bintang United dan England itu semalam, tidak lama selepas beliau mengesahkan hasrat memiliki sebuah kelab bola sepak di Miami.

“Beliau seorang pengurus hebat. Saya fikir beliau orang yang tepat bagi jawatan itu. Beliau seorang pengurus yang terbabit dengan jawatan paling besar di dunia dan sudah tentu ada tempoh peralihan.

“Tapi bagi saya, beliau orang yang tepat bagi tugasan itu dan semuanya akan berubah.” Moyes mengambil alih sebagai pengurus United daripada Alex Ferguson pada musim panas lalu namun mengalami kesukaran mengemudi kelab juara Liga Perdana Inggeris itu yang tumpas kepada Stoke hujung minggu lalu dan menghuni tangga ketujuh liga.

Mereka ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Arsenal dan sudah kalah lapan perlawanan musim ini. – AFP