BPL: Liverpool raih kemenangan sukar, Newcastle menang tipis

LONDON – Liverpool mengukuhkan cengkaman terhadap kedudukan keempat dalam Liga Perdana Inggeris selepas Daniel Sturridge Jordan Henderson masing-masing menjaringkan dua gol ketika mereka meraih kemenangan getir 4-3 ke atas Swansea City malam tadi.

Swansea bangkit untuk menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 2-0 dan 3-2 di Anfield, sebelum Henderson akhirnya memadam kesungguhan pasukan pelawat pada minit ke-74 untuk membawa Liverpool kembali berada empat mata di belakang pendahulu carta liga, Chelsea.

Ini merupakan kemenangan kesepuluh Liverpool di tempat sendiri dalam liga.

Liverpool hanya memerlukan kurang tiga minit untuk mendahului, apabila Sturridge mengutip umpanan Raheem Sterling dan menggelecek penjaga gol Swansea, Michel Vorm untuk membuat jaringan selepas Angel Rangel kehilangan bola di tengah padang.

Sturridge kini telah menjaringkan gol dalam lapan perlawanan Liga Perdana secara berturut-turut dan dia membuat gerakan untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-20 yang disudahkan oleh sepakan lencong Henderson dari luar kotak penalti.

Bagaimanapun, dua gol dalam masa empat minit mengembalikan Swansea ke dalam persaingan, dengan bekas pemain tengah Liverpool, Jonjo Shelvey membuat jaringan dari luar kawasan gol sebelum Wilfried Bony menanduk masuk selepas bola terkena Martin Skrtel.

Sturridge mengembalikan Liverpool di depan pada minit ke-36 setelah menanduk umpanan lintang Luis Suarez, tetapi Bony kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas dia ditarik oleh Skrtel.

Liverpool bermain mati-matian untuk menambah gol dan akhirnya perjuangan mereka berbaloi ketika permainan berbaki 16 minit apabila Henderson menyepak bola ke dalam gawang setelah percubaan Suarez ditampan penjaga gol.

Dalam satu lagi perlawanan, Loic Remy menandakan kemunculan semulanya bersama Newcastle United selepas digantung permainan dengan merembat masuk gol kemenangan 1-0 pada masa kecederaan ke atas Aston Villa.

Penyerang dari Perancis itu menyambung percubaan Luuk de Jong yang percubaannya ditampan untuk menewaskan penjaga gol Villa, Brad Guzan pada minit ke-92 untuk menghadiahkan Newcastle kemenangan pertama daripada lima perlawanan liga selepas kalah empat kali berturut-turut. – AFP

Highlights – LIKE Facebook untuk update highlights perlawanan lain dan terkini