BPL: Kesilapan Kolo Toure buat Liverpool berputih mata

WEST BROMWICH – Hasrat Liverpool untuk mengukuhkan cengkaman dalam kalangan empat pasukan teratas tidak kesampaian apabila gagal memungut mata penuh di The Hawthorns selepas diikat 1-1 dengan pasukan yang paling banyak mencatatkan keputusan seri pada musim ini, West Bromwich Albion.

Biarpun Daniel Sturridge memberikan permulaan positif buat The Reds dengan gol pendahuluan pada minit ke-24 namun aksi yang sedikit menurun dipamerkan di separuh masa kedua membuka ruang kepada West Brom untuk memperolehi gol penyamaan melalui Victor Anichebe.

Liverpool kekal di tangga keempat namun hanya dipisahkan dua mata di hadapan Everton yang berada di tangga kelima selepas menang 2-1 ke atas Aston Villa pada Sabtu lalu sementara West Brom dapat menjarakkan diri satu mata daripada zon penyingkiran.

Melalui gerakan Rahim Sterling yang berjaya membawa masuk bola ke dalam kotak penalti, pemain muda itu membuka ruang kepada Luis Suarez yang bijak memperdayakan tiga pertahanan West Brom dengan melakukan hantaran tepat kepada Sturridge yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang.

Tuan rumah bagaimanapun mempamerkan peningkatan mendadak pada babak kedua dengan penguasaan di bahagian tengah yang dikemudi Chris Brunt dan Zoltan Gera selain kemasukan Anichebe yang menggantikan Saido Berahino mengubah tempo permainan.

Pemain pertahanan, Gareth McAuley hampir sahaja mendapatkan gol penyamaan lebih awal pada minit ke-53 buat West Brom tetapi bola tandukannya dapat diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.

Anak-anak buah Pepe Mel cemas seketika pada minit ke-58 tetapi Suarez terlepas peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan Liverpool apabila bola rembatannya mengenai kaki penjaga gol West Brom, Ben Foster walaupun hanya berhadapan satu dengan satu di dalam kotak penalti.

Gol penyamaan West Brom muncul pada minit ke-67 ekoran kesilapan Kolo Toure yang melakukan salah hantaran apabila bola menuju ke kaki Anichebe yang baru dimasukkan tiga minit sebelum itu dan dia tidak melepaskan peluang dengan melakukan rembatan leret yang menuju ke penjuru kanan gawang Liverpool. – AGENSI