BPL: Dua gol Adam bantu Stoke kejutkan United

LONDON 1 Feb. – Charlie Adam meledak dua gol untuk membantu Stoke City mengejutkan Manchester United 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Biarpun membariskan bintang baharu, Juan Mata, selain kembali diperkuatkan oleh penyerang utama, Robin van Persie dan Wayne Rooney, namun ia tidak mampu mengelak United daripada mengalami kekalahan ketiga daripada lima perlawanan liga terakhir.

Adam membuka jaringan pada minit ke-38, namun Van Persie berjaya menyamakan kedudukan, hanya dua minit selepas babak kedua bersambung.

Rembatan cantik Adam pada minit ke-52 memastikan Stoke mengutip tiga mata berharga, sekali gus mengekalkan United di tangga ketujuh liga dengan 40 mata, enam mata di belakang pasukan tangga keempat, Liverpool.

Dalam perlawanan lain, Everton bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada Liverpool, Selasa lalu dengan menumpaskan Aston Villa 2-1.

Cardiff City turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norwich City, manakala Sunderland mengejutkan Newcastle 3-0 di St JamesÂ’ Park dan Southampton menang besar 3-0 ke atas Fulham di tempat lawan.

Perlawanan lain menyaksikan Hull City terikat 1-1 dengan Tottenham dan West Ham menewaskan Swansea City 2-0.

Highlights Gameweek 24 Day 1