BPL: Chelsea Belum Bersedia Menjuarai Liga

LONDON: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho berkata, keputusan seri dengan WBA awal pagi tadi menunjukkan kelab itu masih belum bersedia untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Akhbar Britain, The Telegraph memetik Mourinho sebagai berkata kegagalan Chelsea menewaskan pasukan bawah seperti West Bromwich Albion (WBA) mengesahkan kepercayaannya bahawa pasukan musim ini belum bersedia untuk menduduki takhta liga perdana.

Mourinho tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dan ini terpancar melalui wajahnya yang masam ketika keluar meninggalkan padang.

Jaringan lewat Victor Anichebe telah membolehkan WBA menyamakan kedudukan 1-1 selepas Chelsea mendahului hasil jaringan awal pemain pertahanan Branislav Ivanovic.

Kegagalan Chelsea mencuri mata penuh menyaksikan mereka tidak dapat menjarakkan jurang kepada empat mata di hadapan Arsenal yang akan bertemu Manchester United awal pagi Khamis (waktu Malaysia).

Mourinho mendakwa, pasukannya kekurangan ‘personaliti’ yang diperlukan untuk menamatkan perlawanan itu dengan mata penuh.

“Sebuah pasukan yang bersedia menjadi juara, sebuah pasukan yang lengkap akan menamatkan perlawanan ini dengan kemenangan 2-0. Lepas itu boleh ucapkan selamat malam. Tapi kami gagal berbuat demikian,” tegasnya dalam nada menyindir.

Menurut pengurus asal Portugal itu, pasukannya harus belajar bagaimana untuk ‘mematikan’ perlawanan.

“Jika kita gagal mematikan sesuatu perlawanan itu dengan jaringan yang lebih dari satu gol maka kita tidak boleh membuat kesilapan di bahagian pertahanan. Hanya satu kesilapan sahaja anda boleh kehilangan tiga mata penuh.

“Apa yang berlaku pada perlawanan ini sama lah dengan apa yang berlaku dalam perlawanan menentang Manchester City kerana kami mempunyai begitu banyak peluang namun peluang itu disia-siakan dan hasilnya ialah seri,” tegas Mourinho lagi.

Menurut pengurus itu lagi, Chelsea harus bermain dengan penuh personaliti iaitu tak akan menerima tekanan dengan mudah.

“Ini kerana jika Arsenal atau City menang dalam perlawanan berikut mereka, mereka akan berada di atas Chelsea.

Sementara itu, perlawanan semalam juga menyaksikan yang kapten pasukan, John Terry tidak turun beraksi untuk kali kedua berturut-turut kerana kecederaan otot.

Pada masa yang sama keputusan seri itu bermakna pengurus baru WBA, Pepe Mel, masih lagi menunggu kemenangannya yang pertama sejak mengambil alih pengurusan kelab itu daripada Steve Clark.

Highlights –  Like Facebook untuk highlights terkini