Bojan Hodak sudah bersama JDT?

Johor Bahru: Kelibat Bojan Hodak ketika sesi latihan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam, dekat sini, petang semalam sedikit sebanyak terus menimbulkan tanda tanya.

Ini kerana bekas pengendali Kelantan itu dilihat sanggup meluangkan masa menyaksikan latihan dikendalikan oleh ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez.

Malah dia yang sebelum ini pernah dikaitkan menjadi jurulatih baru skuad Harimau Selatan, turut sempat berinteraksi dengan pengendali dari Sepanyol itu selepas sesi latihan.

Bagaimanapun, seorang pegawai JDT yang turut sama menyaksikan latihan berkenaan selain Jiminez ketika ditemui, sejurus selepas sesi latihan berakhir, memilih untuk tidak mengulasnya.

Sementara itu, sebuah laman Facebook peminat JDT, Johor Darul Takzim – JDT Fans Club semalam menyatakan jurulatih itu sah menyertai pasukan JDT sebagai jurulatih manakala Jiminez kekal sebagai ketua jurulatih.

Pihak pengurusan JDT yang dihubungi malam tadi enggan mengulas.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Hodak dikelilingi kanak-kanak memakai jersi JDT ketika beliau menyaksikan perlawanan JDT II dengan PBAPP FC di Stadium Pasir Gudang pada 14 Februari lalu, dengan ditemani bekas pemain kebangsaan dan Johor, Serbegeth Singh yang menguatkan spekulasi Hodak akan menyertai JDT atau JDT II.

Jurulatih yang pernah memenangi tiga kejuaraan sekali gus bersama Kelantan itu turut menyaksikan perlawanan JDT dengan Selangor dalam Liga Super dan Kedah dalam kempen Piala FA sebelum ini sehingga menguatkan lagi spekulasi dia akan menyertai skuad itu selaku jurulatih.