Bojan dilantik sebagai pengurus di JDT

JOHOR BAHARU, 25 Feb (Bernama) — Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak sebagai pengurus Johor Darul Takzim (JDT) sementara Cesar Ferrando Jiminez kekal sebagai ketua jurulatih.

Menurut PBNJ, kehadiran Hodak yang mempunyai pengalaman luas mengenai bola sepak tempatan adalah untuk membantu Jiminez dalam memberi informasi mendalam tentang pasukan dan pemain lawan.

“Pengalaman luas Hodak dalam arena bola sepak Malaysia terutama ketika mengendalikan pasukan tempatan serta berjaya menjuarai beberapa piala sebelum ini pasti dapat membantu Jiminez dari segi informasi dan pemahaman mengenai bola sepak Malaysia.

“Manakala Jiminez akan terus menggalas tanggungjawab menyusun taktikal pasukan, falsafah permainan, pembangunan bola sepak dan lain-lain buat pasukan Johor Darul Takzim,” kata PBNJ dalam satu kenyataan Selasa.

PBNJ berkata gabungan kedua-dua jurulatih dalam skuad Harimau Selatan akan memastikan ia mampu memberi saingan lebih sengit dalam arena bola sepak Malaysia.

“Semestinya Harimau Selatan akan kembali dengan taring yang lebih terasah,” katanya.

Kedua-dua jurulatih terbabit dalam kenyataan yang sama berkata mereka sangat teruja dengan perkembangan terbaharu itu dan akan berusaha meletakkan bola sepak Johor ke tahap yang lebih tinggi.

Jiminez yng berasal dari Sepanyol pernah melatih beberapa pasukan ternama dalam Liga Sepanyol termasuk Valencia dan Athletico Madrid manakala Hodak yang dilahirkan di Croatia berjaya memimpin Kelantan untuk menjuarai beberapa kejuaran tempatan. — BERNAMA