Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 Di Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Malaysia, buat pertama kalinya dipilih menjadi tuan rumah bagi Anugerah Dunia Sukan Laureus yang ke-15 berlangsung di Istana Budaya pada 26 Mac ini.

Istimewanya, ia pertama kali dianjurkan di Asia Tenggara dan kali kedua di peringkat Asia, malah ianya juga dilangsungkan pada Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ia bakal dihadiri pelbagai tetamu kehormat selain selebriti dan atlet sukan bertaraf dunia dengan mendapat liputan dari seluruh dunia.

Sebelum itu, tiga tokoh sukan ternama dunia dijangka akan tiba pada 26 Februari ini (sebulan sebelum acara penyampaian Anugerah Sukan Dunia Laureus Ke-15 dilangsungkan) bagi mengumumkan calon-calon pemenang Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014.

Mereka ialah pemenang Piala Dunia dari Perancis, Marcel Desailly, bekas jurulatih Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas dan juara dunia lima kali kejuaraan motosikal dunia, Mike Doohan.

Ketiga-tiga personaliti tersebut bakal mengumumkan nama keenam-enam olahragawan, olahragawati dan pasukan yang cemerlang dalam tujuh kategori berbeza yang dipilih menerusi undi rahsia oleh media dari seluruh dunia.

Tujuh kategori tersebut ialah Atlet Lelaki Terbaik Dunia Laureus, Atlet Wanita Terbaik Dunia Laureus, Pasukan Terbaik Dunia Laureus, Anugerah Cemerlang Dunia Laureus, Anugerah Kemunculan Semula Dunia Laureus, Anugerah Kesukanan Dunia Laureus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan Anugerah Aksi Kesukanan Dunia Laureus.

Sementara itu, Pengerusi Akademi Sukan Dunia Laureus, Edwin Moses pihaknya teruja untuk mengadakan majlis ini di Kuala Lumpur.

“Pertama kali berada di sini dan saya gembira, lebih-lebih lagi makanan yang dihidangkan semuanya lazat.

“Apa yang penting bagi kami, mesej Laureus dapat disampaikan.

“Sudah pasti ramai nama-nama besar dunia akan turut hadir pada majlis ini, dan bakal menjadi majlis gilang gemilang kerana Istana Budaya merupakan sebuah tempat yang menarik dan unik,” jelasnya ketika ditemubual bersama media.

Moses sebenarnya tidak asing lagi dalam dunia sukan. Bekas atlet berusia 69 tahun ini merupakan juara 400 meter berpagar Sukan Olimpik 1976 dan 1984 dari Amerika Syarikat.

“Kami di Laureus tidak tahu mengenai pencalonan atau pemenang. Semua yang dipilih itu berdasarkan panel juri yang ditetapkan.

“Seperti kamu juga, kami hanya tahu mengenai keputusan rasmi pencalonan setiap kategori pada majlis yang diadakan nanti.

“Pun begitu saya akui pemilihan senarai calon atau pemenang agak sengit.

“Mungkin pasukan ragbi All-Blacks dari NewZealand dan pasukan bola keranjang Miami Heats dari Amerika Syarikat dicalonkanatas pencapaian baik tahun lepas bagi kategori berpasukan.

“Manakala bagi kategori individu, pelumba Formula Satu (F1), Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull memiliki rekod mantap apabila muncul juara dunia untuk tiga tahun berturut-turut,” jelasnya mengenai senarai pencalonan anugerah ini.

Dalam pada itu, Moses turut berterima kasih kepada Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri dan Malaysia kerana sokongan yang telah diberikan untuk merealisasikan majlis ini di Kuala Lumpur.

Antara atlet yang pernah merangkul anugerah tersebut ialah Sebastian Coe (olahraga, Britain), Novak Djokovic (tenis, Serbia), Roger Federer (tenis, Switzerland), Alex Ferguson (bola sepak, Scotland), Lewis Hamilton (Formula Satu, Britain), Rafael Nadal (tenis, Sepanyol), Pele (bola sepak, Brazil), Michael Phelps (renang, Amerika Syarikat), Steve Redgrave (mendayung, Britain), Ronaldo (bola sepak, Brazil), Michael Schumacher (Formula Satu, Jerman), Kelly Slater (peluncur air, Amerika Syarikat), dan Zinedine Zidane (bola sepak, Perancis).