Andik akan bantu Selangor benam Arema

Kuala Lumpur: Kembali ke Indonesia buat pertama kali dan berdepan pula kelab negara kelahirannya, Arema Cronus dalam saingan Piala AFC minggu depan, ia sama sekali tidak mencetus gusar pemain import Selangor, Andik Vermansyah sekalipun sedar kehadirannya akan menjadi perhatian.

Andik yang digelar ‘Messi Indonesia’ kerana kelincahannya berkata, dia akan menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya ketika beraksi dalam saingan Liga Indonesia bagi membantu Selangor mengenal pasti kelemahan dan kekuatan lawan itu.

“Ya, memang ramai yang menantikan kehadiran saya di sana terutama peminat tempatan namun Selangor adalah pasukan saya ketika ini dan saya akan berusaha sebaik mungkin membantu pasukan merakam kemenangan dalam permulaan kempen Piala AFC ini.

Belum diuji

“Bagaimanapun, saya harus akui Arema pasukan yang cukup bagus dengan gabungan pemain muda dan import yang berkualiti, jadi ia pasti menjadi pertemuan yang sukar.

“Malah perlu diingat, mereka (Arema) bukan saja mempunyai tiga import dalam pasukan, namun dua pemain naturalisasi termasuk penyerang dari Uruguay, Cristian Gonzales dan kesemua mereka berada dalam kesebelasan utama,” kata Andik ketika dihubungi, semalam.

Meskipun kelibatnya jarang kelihatan dalam kesebelasan utama Selangor dalam lima perlawanan Liga Super setakat ini, ia bagaimanapun tidak mematahkan semangat Andik, sebaliknya mengakui perlu berusaha lebih gigih untuk merebut tempat dan berjanji akan memberikan 100 peratus jika diturunkan.
“Soal sama ada diturunkan atau tidak adalah hak jurulatih namun ia tidak pernah mematahkan semangat saya.

“Apa yang pasti, saya cukup senang di sini. Memang ada tawaran dari Indonesia namun jika ada rezeki, saya mahu terus bermain di sini kerana bukan saja selesa, tetapi saya mahu buktikan kemampuan sebenar saya yang belum diuji sepenuhnya,” katanya. – BH