AFC Cup: Yangon ‘selesa benam’ The Red Warriors

KUALA LUMPUR – Juara Piala FA 2013, Kelantan gagal menyaingi kehebatan Yangon United selepas tewas 3-5 dalam saingan Piala AFC yang berlangsung di Youth Training Centre, Yangon Myanmar semalam.

Penyerang import, Emerson Luiz Tito meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi jaringan sudut sukar dari sebelah kiri pintu gol seawal minit kelapan permainan.

Bintang Yangon United, Kyaw Ko Ko melebarkan jurang jaringan pada minit ke-27 selepas berjaya menyungkit masuk bola di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad kendalian Steve Darby yang beraksi tanpa kehadiran tiga pemain import, Francis Forkey Doe, Mohamad Ghaddar dan Mohamed Shawky Aly akibat kecederaan terus berduka apabila ketinggalan 3-0 selepas Luiz Tito meledak gol bagi tuan rumah menerusi tandukan hasil sepakan sudut sejurus sebelum tamat babak pertama.

Kelantan bagaimanapun berjaya meraih gol pertama mereka menerusi Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dua minit selepas babak kedua bermula .

Namun, empat minit kemudian Ko Ko menyumbat masuk gol keempat tuan rumah selepas pemain itu tidak dikawal rapi pemain pertahanan Kelantan.

Kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radhzi kembali mengidupkan peluang dengan menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-63 sebelum pasukan Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Ahmad Shakir Md. Ali dibuang padang pada minit ke-74 selepas dilayangkan kad merah.

Pasukan tuan rumah menggunakan kelebihan itu dengan Ko Ko menjaringkan hatrik pertamanya dalam kejohanan itu pada minit ke-89 dan Mohd. Badhri menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan, namun sudah terlambat untuk Kelantan. – Utusan

Highlights – LIKE Facebook untuk update highlights perlawanan lain dan terkini