AFC Cup: Kelantan tempang tanpa tiga pemain import

Kota Bharu: Kelantan memulakan aksi pertama saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan ‘langkah tempang’ apabila turun tanpa tiga pemain import ketika berdepan Yangon United di Stadium Thuwunna, Myanmar hari ini.

Pasukan kendalian Steve Darby itu kehilangan dua penyerang, Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe serta pemain tengah, Mohamed Shawky Aly yang dibelenggu kecederaan. Ketiga-tiganya tidak dibawa ke Myanmar.

Bagaimanapun, Darby berkata, ketiadaan tiga pemain berkenaan tidak menjejaskan persiapan The Red Warriors (TRW) untuk memulakan aksi pertama di pentas antarabangsa musim ini menerusi saingan AFC.

Katanya, berikutan ketiadaan Ghaddar dan Forkey Doe, beliau menaruh kepercayaan terhadap dua penyerang tempatan, Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Fakri Saarani untuk merobek gawang tuan rumah.

“Kami kehilangan dua penyerang dan seorang pemain tengah kerana kecederaan. Saya terpaksa menurunkan pemain lain untuk mengisi kekosongan posisi itu dan saya harap pemain yang diberikan kepercayaan nanti dapat beraksi cemerlang.

“Saya yakin dengan Ahmad Shakir dan Ahmad Fakri kerana mereka sudah mendapat sentuhan jaringan, namun saya berharap pemain ini selesa beraksi dalam saingan AFC,” katanya.

Kelantan meneruskan cabaran dalam saingan AFC buat kali ketiga berturut-turut, termasuk musim ini dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada 2012 ketika di bawah bimbingan bekas jurulatih, Bojan Hodak.- HMetro