Adira semakin selesa bertudung

Bagi peminat-peminat setia Adira yang sering mengikuti perkembangannya di laman sosial, pasti perasan dengan perubahan penyanyi ini.

Sejak beberapa bulan lepas, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan ini dilihat mula mencuba memakai tudung sedikit demi sedikit apabila keluar rumah.

Sebaik melihat fotonya bertudung, ramai yang tertanya-tanya sama ada Adira sudah benar-benar berhijrah atau sekadar memenuhi permintaan orang terdekat sahaja.

Teman lelakinya, Shahrul Nasrun yang juga Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M) pernah menghadiahkan sehelai selendang untuk kegunaan Adira.

Dan menerusi foto terbaru yang dikongsikannya malam semalam, Adira kelihatan sangat manis apabila kepalanya dilitupi selendang hitam dengan kemas.

Namun jika melihat perkongsian sebelum ini, masih ada lagi foto-foto Adira yang belum bertudung sepenuhnya. Mungkin anak kelahiran Sabah ini sedang mencari waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.

Biarpun begitu, penyanyi putih melepak ini langsung tidak kekok menggayakan tudung yang dipakai dan penampilannya nampak seperti sudah lama berhijab. – OB