Zizan Nafi Bercumbuan Dengan Emma Maembong

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menafikan dia dan aktres Emma Maembong bercumbuan dan bersikap tidak senonoh di dalam kapal terbang ketika penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Baca sini.

Zizan atau nama sebenarnya, Razizan Razak, 30, berkata, gosip yang ditimbulkan itu tidak masuk akal kerana pemergian mereka ke negara itu turut disertai oleh pengurus dan beberapa krew penggambaran.

“Pemergian ke Amerika Syarikat bukan kami berdua sahaja tetapi pengurus dan beberapa krew turut ikut. Takkan saya hendak buat perkara macam itu di hadapan mereka semua.

“Isu yang ditimbulkan sebenarnya tiada apa-apa pun dan saya tidak terkejut pun kerana itu adalah lumrah dunia artis,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Pemergian Zizan dan Emma ke Amerika turut ditemani oleh rakan-rakan dan krew penggambaran. Foto Instagram Zizan Razak.

Zizan mengulas laporan sebuah ruangan gosip akhbar mingguan pada Ahad lalu yang melaporkan dia dan Emma tanpa segan silu bercumbuan di atas kapal terbang tanpa menghiraukan penumpang lain yang melihat aksi mereka.

Anggota kumpulan Jozan itu ketika dihubungi mStar Online pada pagi Isnin lalu pada mulanya enggan mengulas mengenai isu tersebut kerana tidak mengetahui cerita sebenar dan baharu sahaja pulang ke Malaysia.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak sehingga timbulnya gosip tidak berasas itu kerana ia hanya spekulasi.

Malah kata Zizan, dia tidak berkecil hati dengan laporan akhbar tersebut kerana menganggap pihak media hanya menjalankan tugas mereka.

“Gosip itu tidak akan timbul sekiranya tiada pihak yang cerita kepada pihak media dan wartawan hanya menjalankan tugas mereka.

“Saya juga tidak berani hendak tunding jari kepada mana-mana pihak kerana nama pun gosip dan pada saya ia kedengaran kelakar,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai reaksi Emma mengenai gosip berkenaan, Zizan berkata, dia belum sempat untuk bercakap dengan pelakon itu dan tidak berhak untuk memberi kenyataan bagi pihaknya.

Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, percutiannya ke Amerika amat menyeronokkan kerana dia dapat mempelajari pelbagai perkara baharu sepanjang berada di sana.

Jawab Emma atau nama sebenarnya, Che Fatimah Rohani Ismail, 22, kepulangannya dari Los Angeles disambut dengan khabar yang benar-benar mengaibkan namanya dan keluarga. Terkilan, kecewa dan tertekan, Emma menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

“Bercumbu? Melampau dakwaan itu! Saya menafikan sama sekali tuduhan tidak berasas itu dan cubalah berfikir secara logik mana mungkin kami akan melakukan perkara itu, tambahan pula di hadapan orang ramai dalam pesawat.

Emma menjelaskan sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih 12 jam dari Kuala Lumpur ke Los Angeles, Amerika Syarikat dua minggu lalu, ada masanya dia tertidur dan kepalanya terlentok ke bahu Zizan.

“Malah, kalau bergurau pun tidak pula sampai tahap bercumbu. Memang ada kami bergurau senda sepanjang penerbangan tetapi Zizan pun ada bergurau dengan Kaka (yang mengikuti trip bersama) tapi tidak pula keluar cerita.

“Mungkin kebetulan Emma duduk bersebelahan Zizan dan ada pula spekulasi kami bercinta sebelum ini, maka orang senang menjatuhkan hukuman,” jelasnya yang ke Los Angeles untuk projek Jom Upgrade Mamee Chef.

Pelakon drama Projek Memikat Suami itu menerangkan, dia duduk bersebelahan Zizan dan sebaris dengan penyanyi Kaka serta pengurus Wire Frame Entertainment, Marina Juki.

“Emma tidak marahkan penyampai cerita itu sebab semua tahu perkara yang sebenar, malah sampai sekarang Emma tidak pasti siapakah individu yang bertindak menyebarkan cerita itu. Mungkin juga ada peminat yang tersalah anggap.

“Agak sedih sebenarnya apabila cerita itu keluar tanpa bertanyakan dahulu kepada Emma atau Zizan. Kalau betul Emma salah, Emma minta maaf,” ujarnya yang menyifatkan Zizan adalah lelaki paling rapat dalam hidupnya.