Yaya Toure dipilih Pemain Terbaik Afrika 2013

LAGOS – Bintang Manchester City, Yaya Toure dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika untuk kali ketiga berturut-turut, manakala John Obi Mikel menduduki tempat kedua dan rakan senegaranya, Didier Drogba di tempat ketiga.

“Saya berterima kasih kepada keluarga saya atas sokongan mereka dan tahniah kepada John Obi Mikel yang turut berhak untuk mendapat anugerah ini,” kata pemain Ivory Coast berusia 31 tahun itu, yang menjadi tulang belakang kepada kelab dan pasukan negaranya tahun lalu.

Pemain legenda Mesir, Mohamed Aboutrika, 35, menewaskan rakan senegaranya, Ahmed Fathy dan Sunday Mba dari Nigeria untuk anugerah Pemain Terbaik Berpangkalan di Afrika.

Anugerah itu diterima oleh pemain kelab Al Ahly itu kebetulan dengan pengumumannya untuk bersara daripada bola sepak.

Al Ahly turut diumumkan sebagai kelab terbaik, menewaskan CS Sfaxien dari Tunisia dan kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates selepas merangkul kejuaraan Liga Konfederasi Bola Sepak Afrika untuk kali kelapan.

Nigeria turut merangkul beberapa anugerah selepas mengharungi tahun cemerlang di bawah kendalian jurulatih, Stephen Keshi yang dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Afrika manakala Super Eagles diangkat sebagai pasukan kebangsaan terbaik selepas memenangi Piala Negara-negara Afrika Februari tahun lalu.

Pasukan bawah 17 tahun Nigeria dipilih sebagai pasukan remaja terbaik dan Kelechi Iheanacho dinobatkan Pemain Paling Berbakat selepas diundi sebagai penerima anugerah Pemain Paling Berharga 2013 pada kejohanan Piala Dunia FIFA bawah 17 tahun. – AFP