Video: Real siasat insiden Di Maria ‘berkelakuan lucah’

MADRID – Real Madrid sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap pemain sayap dari Argentina, Angel Di Maria selepas dia dilihat melakukan perbuatan yang dianggap lucah ketika dikeluarkan dalam perlawanan dengan Celta Vigo yang berkesudahan Real menang 3-0 pada Isnin lalu.

Di Maria yang digantikan oleh Gareth Bale pada pertengahan babak kedua aki Copa del Rey di Bernabeu menyifatkannya sebagai ‘perbuatan biasa’ dan meminta maaf terhadap tindakannya itu.

Insiden itu menjadi perbualan hangat dalam kalangan media Sepanyol dan Argentina sekali gus menguatkan spekulasi Di Maria akan dijual pada bulan ini atau penghujung musim akibat kurang beraksi dengan kesebelasan utama selepas kemasukan Bale.

Di Maria dilihat memegang kemaluannya ketika menuju ke tepi padang untuk digantikan oleh Bale.

“Saya bukannya mahu menunjukkan apa-apa kepada penyokong atau jurulatih seperti yang didakwa.

“Itu merupakan perbuatan biasa bagi mana-mana lelaki terutamanya ketika berlari. Anda sering melakukannya ketika berada di padang. Anda dapat lihat di televisyen yang perbuatan itu dilakukan sekelip mata sahaja. Ia bukannya apa-apa.

“Bukannya saya melakukannya atas sebab tertentu untuk tempoh yang lama,” kata pemain berusia 25 tahun itu seperti dipetik dari laman web www.realmadrid.com.

Katanya lagi, dia bersetuju dengan tindakan kelab melakukan siasatan dalaman bagi membolehkan dia menjelaskan perkara sebenar. – REUTERS