Undian maut bukan tekanan buat skuad hoki negara di Piala Dunia

KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah (gambar) mengakui tiada tekanan buatnya dan pasukan biarpun diundi dalam kumpulan maut dalam Piala Dunia 2014 yang dijadual berlangsung Mei ini di Belanda.

Dalam undian Piala Dunia 2014 yang diumumkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) semalam, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan No. 1 dunia, Australia, England (4), Belgium (5), India (8) dan Sepanyol (10).

Kumpulan B pula menyaksikan juara Olimpik 2012, Jerman (2) bakal bersaing bersama tuan rumah Belanda (3), New Zealand (6), Korea Selatan (7), Argentina (11) dan Afrika Selatan (12).

Kata Muhammad Dharma, kedudukan selaku pasukan ranking paling bawah dalam kumpulan tersebut memerlukan pasukan menjadikan semua perlawanan sebagai aksi hidup mati buat pasukan dalam memburu kelompok sepuluh terbaik keseluruhan.

Malah bekas jurulatih skuad remaja kebangsaan itu turut memberitahu sasaran tersebut masih lagi realistik biarpun berhadapan pasukan hebat dalam peringkat kumpulan.

“Bagi saya pasukan perlu sedar status kita di mana dalam kejohanan tersebut agar semua pemain dapat bekerja lebih keras untuk melakukan yang terbaik.

“Saya juga suka jika ada pasukan yang memandang mudah pasukan kami kerana itu akan menjadi kelebihan buat Malaysia untuk membuat kejutan ke atas pasukan lawan yang terlalu yakin dengan keupayaan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Muhammad Dharma turut memberitahu tumpuan utamanya pada tahun ini lebih terarah untuk menjadi juara Sukan Asia 2014 selain Piala Dunia.

“Bagi saya dapat beraksi dalam Piala Dunia adalah sesuatu yang cukup hebat buat kita kerana sudah terlalu lama kita tidak bersaing dalam kejohanan tersebut.

“Disebabkan itu sasaran tidak terlalu tinggi diletakkan kepada kami kerana sedar tahap kejohanan berkenaan dan saya juga yakin Sukan Asia adalah pertandingan penting buat Malaysia kerana menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2016 sekiranya menjadi juara,” kata Muhammad Dharma. – Utusan