Troussier ke Malaysia atau Tunisia?

SPEKULASI jurulatih baharu Harimau Malaya semakin hangat apabila Persatuan Bola Sepak Tunisia (FTF) dilaporkan bakal melamar bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier.

Troussier sebelum ini telah dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Kosmo! kelmarin melaporkan, FAM sudah bersedia untuk mengumumkan calon pilihan untuk menggantikan Rajagobal bulan depan.

Kontrak Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya berakhir pada 31 Disember lalu.

Begitupun, usaha FTF jelas dilihat memberikan tamparan kepada FAM dalam usaha menagih sentuhan pengendali kelahiran Perancis itu yang berjaya membimbing pasukan Jepun mara ke pusingan kalah mati kempen Piala Dunia 2002.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin kekal dengan pendirian ‘kunci mulut’ dan tetap enggan mengulas mengenai calon jurulatih baharu Harimau Malaya.

“Saya tidak mahu ulas lebih lanjut (mengenai tawaran FTF yang berminat untuk mendapatkan khidmat Troussier).

“Kita tunggu dan lihat sahaja. Seperti yang saya janjikan semalam (kelmarin), FAM akan mengumumkan jurulatih baharu skuad kebangsaan selewat-lewatnya pada Februari depan,” katanya.

Troussier yang juga dikenali sebagai ‘Doktor Bomoh Putih’ di Eropah, pernah mengendali tujuh pasukan kebangsaan bermula dengan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi.

Tunisia kini terdesak untuk mencari jurulatih baharu dalam usaha mempersiapkan pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula pada September depan.

Difahamkan, lima nama besar telah disenarai pendek untuk jawatan itu dengan bekas jurulatih Jepun untuk Piala Dunia 2002, Philippe Troussier menjadi nama paling hangat dikaitkan selepas FAM mengadakan pertemuan dengannya di London pada bulan lalu.

Calon lain ialah bekas pengurus AS Roma, Zdenak Zeman dan bekas pemain antarabangsa Perancis dan Chelsea, Marcel Desailly andai impian FAM mendapatkan Troussier tidak kesampaian.

Buat sementara ini, Kim Swee ditugaskan menjadi pengendali sementara Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya masih memiliki baki satu perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada Mac depan. – Kosmo