Trofi Piala Dunia FIFA Tiba Di Malaysia

PETALING JAYA, 3 Jan (Bernama) — Simbol paling ikonik dalam dunia bola sepak, Trofi Piala Dunia FIFA, tiba di Malaysia hari ini dalam siri penjelajahan trofi tersebut selama sembilan bulan merangkumi 88 negara.

Trofi bola sepak paling berprestij itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan pesawat khas dengan diiringi oleh Duta FIFA dan bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke dan Pengurus Bola Sepak Global, Coca-Cola, Annamaria Gazda.

Coca-Cola merupakan rakan kongsi korporat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Malaysia merupakan persinggahan ke-56 selepas Hanoi, Vietnam dalam siri penjelajahan sejauh 149,576.78km dari Rio de Janeiro, Brazil, yang bermula pada 12 Sept tahun lepas.

Selepas Malaysia trofi itu akan singgah di Jakarta, Indonesia, Isnin ini.

Trofi Piala Dunia itu berukuran 36.8 sentimeter tinggi dengan berat 6.18 kilogram dan ia diperbuat daripada emas 18 karat serta dihiasi dengan permata ‘malachite’ pada bahagian tapaknya.

Peminat bola sepak tempatan sekali lagi berpeluang melihat dari dekat Trofi Piala Dunia itu yang akan dipamerkan di Dewan Tun Hussein Onn Dewan 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam, Ahad ini.

Ini merupakan kali ketiga trofi Piala Dunia itu dipersembahkan di seluruh dunia selepas Piala Dunia 2006 di Jerman dan 2010 di Afrika Selatan.

Sementara itu, Pengarah Francais, Coca-Cola Far East Limited Malaysia, Agustinus Gunadharma dalam sidang media berkata peminat tempatan akan mendapat peluang untuk bergambar bersama trofi asli itu pada pameran itu.

Pada 2006, trofi itu dipamerkan di Berjaya Times Square di sini dan pada 2010 di Pusat Pameran Mid Valley di sini.

Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Rio de Janeiro mulai 12 Jun hingga 13 Julai ini.– BERNAMA