Transformasi Bola Sepak Kedah Bukan Hanya Pada Logo – Mukhriz

BALING, 12 Jan (Bernama) — Penyokong bola sepak Kedah diminta memberi peluang kepada persatuan negeri itu untuk membuktikan proses transformasi yang dilakukan dapat mengembalikan era kegemilangan skuad Hijau Kuning itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata proses transformasi itu bukan hanya melibatkan pertukaran logo persatuan tetapi juga soal pengurusan, latihan dan pemilihan pemain.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata demikian kepada pemberita di sini Ahad ketika diminta mengulas bantahan Gabungan Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, terhadap tindakan KFA menukar logo baharunya dari skuad Kenari kepada Helang Merah dengan mendakwa logo baharu itu tidak relevan.

Logo Sang Kenari merupakan idea bapa pembangunan bola sepak negeri Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil.

Mukhriz berkata walaupun ada pihak yang tidak gembira dengan logo baharu itu namun ada ramai yang merasa sudah tiba masa untuk persatuan menampilkan imej yang gah.

“Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang. Jadi sebab itu Helang Merah dipilih,” katanya. — BERNAMA