Tindakan lebih tegas terhadap ibu bapa cuai

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merancang untuk meminda Akta Kanak-kanak 2001 tidak lama lagi bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap ibu bapa yang cuai dalam menjaga keselamatan anak-anak.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata beliau meminta pegawai kementerian mengkaji secara terperinci bentuk hukuman lebih tegas yang boleh dikenakan.

Katanya, sebagai contoh, ibu bapa yang cuai mungkin boleh ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak untuk suatu tempoh bagi menyedarkan mereka tentang penjagaan anak-anak.

“Program itu dilakukan di banyak negara di mana ibu bapa akan dipisahkan dari anak-anak mereka untuk melakukan khidmat masyarakat di pusat jagaan kanak-kanak dan hanya akan pulang ke rumah selepas mereka betul-betul bersedia,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulan kementerian di sini, hari ini.

Menurutnya cadangan pindaan itu timbul susulan beberapa kes kematian membabitkan kanak-kanak meningkat sepanjang tahun lepas akibat kecuaian ibu bapa atau penjaga.

“Sebelum ini akta itu tidak begitu ketat kerana kita kasihan melihat ibu bapa yang trauma selepas kematian anak, namun bermula tahun ini kita akan menambah hukuman serta memperketatkan akta itu,” katanya.

Rohani berkata cadangan pindaan serta penguatkuasaan lebih tegas itu dilakukan bagi membuktikan bahawa kementerian serius terhadap kes yang berlaku terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, katanya perincian mengenai pindaan akta tersebut akan diberitahu dalam masa terdekat selepas kajian dibuat.

Selain itu katanya, kursus untuk ibu bapa serta pasangan yang akan berkahwin juga akan diperbanyakkan sebagai memberi pendedahan mengenai kanak-kanak. – BERNAMA