Tiket Piala Sumbangsih Habis Terjual, Lebih 6,000 Tiket Tersalah Cetak

KUANTAN, 16 Jan (Bernama) — Lebih 6,000 tiket perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Piala Malaysia Pahang dan juara Piala Liga Super 2013, Lions XII dari Singapura di Stadium Darul Makmur di sini malam esok, dikesan tersalah cetak.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata penyokong yang memiliki tiket berkenaan tidak perlu risau kerana ia masih boleh digunakan untuk perlawanan itu.

Setiausaha Agung PBNP Fuzzemi Ibrahim berkata pada tiket itu tertera tahun 2013, bukan tahun sepatutnya iaitu 2014.

“Kesilapan itu telah dirujuk ke Bahagian Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FAM telah menghantar beberapa pegawainya untuk menyelesaikan itu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata semua 31,000 tiket yang diperuntukkan telah habis dijual di dua lokasi iaitu Stadium Darul Makmur dan Stadium Mini Temerloh bermula 10 pagi hingga 4 petang tadi.

Sementara itu, Pahang juga akan mula menjual pas bermusim 2014 kepada peminat dengan harga RM1,000 bagi tempat duduk utama di Stadium Darul Makmur.

Katanya permohonan untuk pas bermusim boleh dibuat di pejabat PBNP mulai hari ini. — BERNAMA