Tidak yakin menang, Ronaldo tetap hadir ke anugerah Ballon d’Or

LONDON – Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengesahkan dia akan menghadiri majlis anugerah Ballon d’Or yang bakal dilangsungkan minggu depan, walaupun timbul spekulasi dia akan memboikot majlis berkenaan.

Pemain berusia 28 tahun itu akan bersaing dengan penyandang anugerah, Lionel Messi dan bintang Bayern Munich, Franck Ribery bagi merebut anugerah untuk tahun 2013 itu. Spekulasi dia akan memboikot majlis berkenaan tercetus ekoran kenyataan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter yang memilih Messi sebagai calon kegemaran untuk merangkul anugerah itu.

Ronaldo bagaimanapun menepis spekulasi itu dan menjelaskan dia akan ke Zurich pada 13 Januari ini.

“Saya akan menghadiri majlis itu. Saya tidak tahu sama ada saya mampu muncul sebagai pemenang. Jika saya menang baguslah, tetapi jika tidak saya akan meneruskan tanggungjawab saya membantu Real Madrid seperti selalu,” katanya kepada pemberita selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Celta semalam.

Ronaldo meledakkan dua gol pada perlawanan itu yang merupakan jaringan ke-400 dalam kariernya dan dia menujukan dua jaringan yang diciptanya itu kepada legenda bola sepak Portugal, Eusebio yang meninggal dunia hujung minggu lalu.

“Keutamaan saya adalah untuk melakar kemenangan. Perlawanan itu tidak mudah kerana Celta berkampung di kawasan mereka sendiri. Musim masih panjang dan apa yang kami mahu lakukan ialah cuba merapatkan jurang dengan pendahulu dan memintas mereka.

“Saya berterima kasih kepada pemberita yang menghasilkan artikel mengenainya (Eusebio). Kedua-dua jaringan itu saya tujukan kepadanya. Beliau seorang yang sangat baik dan telah banyak membantu saya dan sering bersama skuad kebangsaan Portugal. Semalam (Ahad) merupakan hari yang cukup menyedihkan,” ujar Ronaldo.

Xabi Alonso hanya beraksi pada separuh masa pertama perlawanan selepas gagal pulih sepenuhnya daripada masalah telinga dan Ronaldo mengakui dia amat berharap pemain itu akan kekal bersama kelab.

“Keadaan sekarang memang agak bercelaru dan presiden perlu menyelesaikan kemelut itu, saya tidak mahu tahu apa yang berlaku. Tetapi setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian.

“Kematian merupakan satu-satunya perkara yang tidak ada jalan penyelesaian. Dia (Alonso) berusia 32 tahun, tiada apa yang boleh saya maklumkan kepadanya. Tetapi saya harap dia kekal bersama kami,” katanya. – AGENSI