Tiada masalah pemain B-16 negara sertai Frenz United

Kelana Jaya: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu pembabitan pemain dan jurulatih skuad B-16 negara dalam skuad Frenz United Malaysia untuk kejohanan Piala Antarabangsa Frenz (FIC) 2014 yang bermula esok, dijadikan isu.

Sebaliknya Hamidin menganggap ia adalah peluang dan pendedahan berguna buat skuad kendalian S Balachandran itu untuk persiapan menuju pusingan akhir Kejuaraan B-16 Asia 2014 di Bangkok, September ini.

“Perkara ini sudah dibincangkan ketika saya bertemu Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam (kelmarin).

“Apabila pihak penganjur iaitu Frenz United menawarkan jurulatih dan pemain skuad B-16 negara menyertai kejohanan FIC ini, Balachandran berminat dengan peluang yang diberi.

“Jadi majoriti pemain skuad B-16 negara digabung dengan beberapa pemain dari Frenz United untuk membentuk pasukan menggunakan nama Frenz United Malaysia.

“Lagipun ini kejohanan ini membabitkan pasukan kelab yang tidak menjadi masalah bagi saya untuk kita beraksi menggunakan nama kelab.

“Tiada isu pun… malah, kejohanan ini mendapat pengiktirafan FAM dan kelulusan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia),” kata Hamidin ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Isu timbul apabila segelintir pihak kurang senang pembabitan pemain B-16 negara memakai jersi Frenz United Malaysia, bukan jersi kebangsaan ketika aksi prelude kejohanan bertemu skuad B-17 Liverpool, Sabtu lalu.