Tiada Hard Rock Cafe Putrajaya

KUALA LUMPUR: Pembukaan Hard Rock Cafe (HRC) tidak akan menjadi kenyataan selepas Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat malam ini memohon maaf dan memaklumkan bahawa tiada premis berunsur jualan arak dan hiburan akan dibenar beroperasi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Aseh yang memuat naik status terbarunya di laman Facebook (FB) lewat malam ini menjelaskan bahawa tiada permohonan dibuat oleh Hard Rock International untuk mewujudkan HRC walaupun mengakui menerima kunjungan Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir yang menyatakan hasrat untuk melabur hartanah dalam bidang perhotelan serta kemungkinan membuka premis hiburan itu.

“Namun tidak ada permohonan pun yang telah dibuat. Oleh itu, soal membuat keputusan tidaklah timbul sama sekali.

“Setelah mendengar dengan perihatin ke atas bantahan dan keluhan semua pihak, saya ingin menegaskan bahawa Perbadanan Putrajaya tetap tegas dengan prinsip serta peraturan ketat yang tidak membenarkan unsur2 penjualan arak dan hiburan yang tidak bersesuaian demi menjaga kesucian dan imej Putrajaya sebagai Pusat pentadbiran kerajaan.

“Saya mohon maaf jika isu ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan keresahan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam Facebook.

Semalam, cadangan pembukaan HRC di Putrajaya, iaitu premis kelima di negara ini selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kota Kinabalu, mencetuskan kemarahan dan bantahan ramai terutama penduduk Putrajaya.

Syed Yusof dikatakan telah bersetuju membuka Hard Rock Cafe di Menara Ikhlas di Presint 3 dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi yang didakwa sebagai tarikan baharu di Putrajaya termasuk peminat-peminat motosikal Harley Davidson dan golongan muda.

Beberapa jam selepas berita pembukaan Hard Rock Cafe disiarkan di Internet, satu akaun di laman sosial Facebook (FB) diwujudkan menggunakan nama ‘Rakyat Malaysia Menentang Hard Rock Cafe dan Kelab Malam di Putrajaya’ yang mendapat lebih 7,000 ‘likes’ hingga tengah malam ini.

“Kami faham dan akur ini negara berbilang kaum dan agama. Kami cuma minta Putrajaya kekal sebagai bandar pentadbiran boleh dibanggakan untuk sebuah negara Islam.

“Bukalah Hard Rock Cafe dan segala macam pusat hiburan dan minum arak di tempat lain, bukan di Putrajaya.” Itu antara penjelasan bertulis yang terdapat pada akaun berkenaan.

Selain akaun itu, bantahan pembukaan Hard Rock Cafe turut dibangkitkan pemilik akaun ‘Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad’ dan ia mendapat bantahan daripada pengikut laman itu.

Malah, tinjauan Harian Metro bagi mendapatkan reaksi daripada orang ramai mendapati, kebanyakannya memberikan maklum balas menolak pembukaan cawangan Hard Rock Cafe yang dijangka beroperasi di Menara Ikhlas Presint 3, di sini.

Kakitangan kerajaan, Azahani Ahmad Othman, 30, berkata, kafe bertaraf antarabangsa itu tidak sepatutnya dibuka di Putrajaya kerana kebanyakan komuniti di sini adalah Muslim.

“Saya membantah pembukaan Hard Rock Cafe di Putrajaya dan berharap tiada ruang diberikan untuk ia beroperasi di sini.

“Pada masa sama, kita tidak mahu menjejaskan imej Putrajaya kerana ini adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan tidak sepatutnya Hard Rock Cafe berada di sini,” katanya.

Ahli Perniagaan Muhamad Khairuddin Othman, 30, berkata, pembukaan Hard Rock Cafe di Putrajaya akan memberi peluang kepada pengusaha kelab malam lain untuk cuba mendapatkan lesen beroperasi di sini.

“Kita tidak perlu mempertimbangkan untuk memberikan peluang kepada kafe berkenaan beroperasi di sini kerana kita sememangnya tidak mahu Hard Rock Cafe beroperasi di Putrajaya.

“Walaupun saya bukan penduduk Putrajaya tetapi saya berpendapat, Putrajaya tidak sepatutnya mempunyai Hard Rock Cafe,” katanya.

Pekerja kedai aksesori kenderaan, Muhammad Iqbal M.A Karim, 22, berkata, untuk menarik kehadiran pengunjung di Putrajaya, pembukaan Hard Rock Cafe bukan langkah terbaik.

Menurutnya, lokasi pusat Pentadbiran Kerajaan ini sememangnya sudah terkenal dan mempunyai kawasan menarik sekali gus pembukaan kafe bertaraf antarabangsa tidak diperlukan. – HMetro