Theo Walcott tidak akan beraksi dalam Piala Dunia tahun ini

LONDON – Penyerang kebangsaan England, Theo Walcott tidak akan beraksi dalam Piala Dunia di Brazil tahun ini selepas terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam bulan akibat kecederaan lutut yang dihadapinya.

Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ligamen lutut kiri ketika Arsenal menewaskan Tottenham Hotspur di laman sendiri dalam kempen Piala FA, Sabtu lalu.

“Dia akan direhatkan sekurang-kurangnya enam bulan dan akan terlepas baki perlawanan liga musim ini selain Piala Dunia di Brazil pada musim panas ini,” menurut kenyataan yang keluarkan Arsenal.

Rakan sepasukannya, Aaron Ramsey dalam kenyataan menerusi Twitter melahirkan rasa simpati terhadap penyerang yang banyak membantu Arsenal musim ini dan berharap Walcott akan pulih segera.

Bekas pemain Arsenal dan pemain tengah England, Ray Parlour berkata, ketiadaan Walcott akibat kecederaan merupakan kehilangan besar buat kelab dan pasukan negara itu.

“Ini merupakan sesuatu yang sukar buat dirinya kerana dia sedang beraksi bersama peneraju liga dan bersedia untuk beraksi pada Piala Dunia dan saya yakin dia akan berada dalam kesebelasan England di Brazil.

“Dia pasti kecewa dengan kecederaan yang dialaminya,” katanya kepada Sky Sports News.

Walcott sebelum ini terlepas dua perlawanan kelayakan Piala Dunia iaitu menentang Montenegro dan Poland akibat kecederaan dan posisinya diisi oleh pemain Tottenham, Andros Townsend.

Dia juga gagal beraksi pada Piala Dunia 2006 meskipun disenaraikan dalam skuad kendalian pengurus England ketika itu, Sven-Goran Eriksson dan empat tahun berikutnya dia tidak dipilih menyertai skuad Fabio Capello bagi edisi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kecederaan itu memaksa pengurus Arsenal, Arsene Wenger mencari penyerang baharu sebelum jendela perpindahan ditutup hujung bulan ini, apatah lagi beberapa penyerangnya termasuk Olivier Giroud serta Nicklas Bendtner mengalami kecederaan dan akan terlepas banyak perlawanan bulan ini. – AFP