Terry mungkin tinggalkan Chelsea

LONDON – Kapten Chelsea, John Terry dilaporkan hampir pasti akan meninggalkan pasukan itu selepas tamat saingan Liga Perdana England musim ini.

Penyokong-penyokong The Blues pastinya terkejut dengan perkhabaran tersebut selepas mereka terpaksa menyaksikan Pemain Terbaik Chelsea dua tahun berturut-turut, Juan Mata dijual kepada Manchester United.

Penjualan Mata itu hadir selepas Chelsea berjaya memintas Liverpool bagi mendapatkan pemain tengah antarabangsa Mesir, Mohamed Salah dengan nilai perpindahan sebanyak £11 juta (RM61.01 juta).

Pemain berusia 21 tahun itu juga merupakan pembelian ketiga Chelsea pada jendela perpindahan pemain bulan ini selain Nemanja Matic dan Bertrand Traore.

Terry yang ingin menamatkan kariernya dengan pasukan itu difahamkan kecewa dengan pihak pengurusan Chelsea yang sehingga kini belum menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Kontrak pemain pertahanan berusia 33 tahun itu akan tamat penghujung musim ini, namun Chelsea dikatakan lebih berminat memberikan hanya satu tahun kontrak lanjutan dengan pengurangan gaji berbanding sekarang.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa England itu lebih berminat untuk menandatangani kontrak baharu perjanjian selama tiga tahun dengan skuad kendalian Jose Mourinho tersebut.

Sekiranya tidak berjaya, Terry yang telah bersama Chelsea hampir 10 tahun itu akan meninggalkan skuad berpangkalan di Stamford Bridge itu dan melupakan hasratnya untuk bermain sehingga tamat karier di situ.

Dalam pada itu, juara Turki, Galatasaray yang akan bertemu Chelsea pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara musim ini berminat untuk mendapatkan khidmat Terry.

Malah, beberapa kelab gergasi Liga Perdana England juga sedang memantau perkembangan Terry dan bersedia untuk menawarkan ‘tempat baharu’ kepadanya. – Agensi