Tentera Jepun sembunyi 30 tahun di hutan meninggal dunia

Tokyo: Seorang anggota tentera Jepun yang bersembunyi di hutan Filipina selama tiga dekad kerana tidak percaya yang Perang Dunia Kedua sudah berakhir meninggal dunia pada usia 91 tahun di Tokyo semalam.

Hiroo Onoda yang melancarkan perang gerila di Pulau Lubang dekat Luzon hanya mempercayai yang perang sudah berakhir pada 1974 selepas diarahkan bekas komandernya agar menyerah diri.

Onoda meninggal dunia di Tokyo akibat sakit jantung.

Dia ialah individu terakhir daripada puluhan anggota tentera yang bersembunyi di seluruh Asia yang setia berjuang untuk maharaja Jepun.

Dilatih sebagai pegawai risikan dan ketua gerila, Onoda dikerah ke Lubang pada 1944 dan diarahkan agar tidak menyerah diri, tidak membunuh diri dan tetap berjuang hingga pasukan bantuan tiba.

Dia dan tiga lagi anggota tentera terus mematuhi arahan itu walaupun Jepun sudah tewas dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

GAMBAR yang dirakam pada Mac 1974 menunjukkan Onoda (tengah) memberi tabik selepas menyerahkan pedangnya di Pulau Lubang, barat daya Filipina

Tokyo mengisytiharkan mereka sudah mati selepas gagal mencari mereka selama sembilan tahun.

Bagaimanapun, pada 1972, Onoda dan beberapa rakannya terbabit dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina. Rakan seperjuangannya maut tetapi Onoda berjaya melarikan diri.

Onoda menjelaskan yang dia percaya percubaan memujuknya itu ialah angkara regim boneka di Tokyo yang didalangi Amerika Syarikat. – AFP