#tag dahulu artis YouTube sekarang artis KRU

DUA anak muda, Akira Shukri dan Hez Hazmi tidak mahu menoleh ke belakang apabila mereka disunting untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga dalam KRU Music.

Sesuatu yang barangkali tidak pernah terfikir oleh orang lain, dua jejaka lepasan universiti yang bersahabat baik sejak di bangku sekolah itu mengambil simbol palang # atau disebut juga sebagai hashtag sebagai nama kumpulan mereka.

Mahu dikenali sebagai #tag, mereka yang mula beraksi menerusi YouTube itu sedang memasuki persada muzik arus perdana dengan pertaruhan pertama berjudul My Crush. Sebelum ini mereka banyak menyampaikan lagu-lagu karya sendiri atau lagu saduran menerusi medium laman sosial tersebut.

Sepanjang menjadi penyanyi di YouTube, mereka banyak menghasilkan karya sendiri berbanding mempersembahkan karya artis lain. Hasilnya, kreativiti dan identiti mereka yang tersendiri itu menarik perhatian ramai pengguna internet.

Lagu berjudul My Crush versi busking telah berjaya meraih sebanyak 113,522 tontonan di YouTube. Ketika itu, mereka merakamkan single My Crush hanya dengan menggunakan aplikasi teknologi telefon pintar iaitu WhatsApp yang membolehkan mereka berkongsi audio, imej dan video walaupun berada di lokasi berbeza.

“Ketika itu Akira sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam manakala saya pula berada di UiTM Arau. Kami sama-sama meminati muzik, jadi jarak jauh tidak mematahkan semangat kami untuk menghasilkan sebuah lagu secara bersama-sama,” cerita Hez Hazmi atau nama sebenarnya, Muhammad Hazmi Nadzim Hamdan, 22.

KUMPULAN yang mahu dikenali sebagai #tag ini bermula sebagai penyanyi di YouTube.

Menurut Hez Hazmi juga, lagu My Crush ditulis berdasarkan pengalaman peribadi masing-masing dan juga ditujukan kepada sesiapa yang mempunyai perasaan yang sama. Lantunan melodi dan lirik-lirik yang menggambarkan perasaan cinta yang tidak mampu diluahkan itu mampu meraih pengikut YouTube.

“Lagu My Crush mungkin sangat dekat dan sinonim dengan kehidupan alam remaja,” jelas Akira yang sebelum ini bergerak secara individu, begitu juga dengan Hez Hazmi.

Atas nama #tag, single My Crush menyatukan Hez Hami dan Akira atau Ahmad Shukri Zakaria dalam versi studio yang menerima sentuhan daripada komposer terkenal Edry Abdul Halim. Edry turut bertindak selaku selaku penerbit kepada lagu yang sudah pun dilancarkan dan bakal ke udara di corong-corong radio.

“Rasanya pemilihan nama duo kami sebagai #tag ini seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Simbol hastag (#) juga dengan menjadi trend pengguna laman sosial. Jadi, kami harap kemunculan kami sebagai #tag ini akan mudah diterima dan mudah memberi kesan kepada peminat muzik di luar sana,” ujar Akira yang sudah mempunyai kelab peminat sendiri menerusi Facebook.

Selain boleh menyanyi secara harmoni, mereka juga bertindak sebagai komposer dan mampu bermain gitar dengan baik. Imej yang memperkenalkan mereka sebagai duo jejaka dengan gitar masing-masing juga masih diteruskan walaupun kini sudah bergelar artis rakaman.

Lagu My Crush versi studio dimuat-naikkan secara rasmi di rangkaian YouTube KRU Music sejak 22 Januari lalu. Lagu itu juga sudah berada di pasaran melalui iTunes sementara nada deringnya melalui syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan sedang giat dijalankan promosi.- Kosmo

Layan video 2 versi

Versi Akustik

Versi Studio