Susan Boyle mohon kerja juruwang

Edinburgh: Walaupun bergelar jutawan dan menempa nama sebagai penyanyi, Susan Boyle masih memerlukan pekerjaan.

Malah baru-baru ini dia didapati memohon kerja sebagai juruwang separuh masa dengan upah 6 pound sejam di syarikat perjudian Ladbrokes.

Susan, 52, yang memiliki kekayaan dianggar bernilai £20 juta (RM111 juta) memohon jawatan itu di cawangan syarikat berkenaan di Scotland.

Penolong Pengurus David Corr berkata, mereka terkejut apabila dikunjungi Susan.

Mereka kemudian menasihati Susan – juga dikenali sebagai SuBo – membuat permohonan secara dalam talian.
Seorang penduduk setempat berkata, Susan benar-benar berminat untuk bekerja di situ.

“Sudah pasti dia tidak perlukan wang.

“Bagi saya itu mungkin satu cara untuk dia keluar dari rumahnya dan kurangkan berfikir,” katanya.

Jurucakap Ladbrokes berkata, Susan pernah memohon bekerja di situ sebelum menjadi terkenal.

“Mungkin ada sesuatu yang istimewa mengaitkan kami dengan juara Britain’s Got Talent kerana seorang jurinya Alesha Dixon juga pernah bekerja dengan kami sebelum terkenal!” katanya dalam satu kenyataan. – Agensi